#PUSINGAN 10 DI SEPANG JADI PENENTU
Ahmad Afif Amran sudah sah bergelar juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bagi kelas CP150 musim ini.
Walaupun mahkota kejuaraan sudah berada dalam genggamannya, namun dia tetap mahu melakukan yang terbaik pada aksi Pusingan 10 di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini bagi memastikan pasukannya, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing membawa pulang gelaran keseluruhan bagi kategori pasukan.
Selepas mengharungi sembilan pusingan, pasukan CKJ Racing masih unggul memimpin carta keseluruhan dengan meraih 219 mata, diikuti rapat oleh pencabar terdekat mereka, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang memiliki 215 mata.
Mereka kini dipisahkan dengan perbezaan empat mata dan ia satu kedudukan yang masih belum selamat buat CKJ Racing.
Justeru, mereka perlu tampil maksimum pada aksi pusingan penutup musim di Sepang nanti agar mahkota kejuaraan bagi kategori pasukan kekal menjadi milik mereka.
Berdasarkan persaingan yang semakin sengit itu, maka misi mereka di Sepang nanti hanya satu – iaitu untuk memastikan barisan pelumbanya melakukan penyudah podium.
Selain kelas CP150, CKJ Racing juga berada dalam kedudukan selesa untuk menggenggam juara keseluruhan bagi kelas CP115 selepas meraih 219 mata.
Mereka turut dicabar oleh pasukan Maju Motor yang berada di kedudukan kedua dengan 205 mata manakala pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing di tempat ketiga dengan mengumpul 189 mata.
Selain memburu gelaran keseluruhan bagi kategori pasukan dalam kelas CP115, pelumba CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff juga memiliki peluang untuk dinobatkan sebagai pelumba terbaik musim ini.
Syukran kini memimpin kedudukan keseluruhan bagi kategori pelumba dengan mengumpul 160 mata dan dia dicabar oleh pelumba Maju Motor, Md Syafiq Rosli yang berada di kedudukan kedua dengan 153 mata.
Jadi, misi Syukran di Sepang minggu ini cukup mencabar kerana dia perlu melunaskan dua tugasan penting iaitu untuk memastikan gelaran juara keseluruhan bagi kategori pelumba dan pasukan memihak kepada mereka.
Jika dia mampu menyempurnakannya dengan baik, maka CKJ Racing bakal membawa pulang gelaran juara berganda – satu pencapaian yang mereka impikan sebaik saingan musim ini membuka tirainya di Jasin, Melaka pada Mac lalu.
Keutamaan mereka kini adalah untuk memastikan prestasi jentera dan pelumbanya berada dalam keadaan stabil agar mampu tampil maksimum.
Pada masa yang sama, mereka tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana barisan pencabar mereka juga semakin gagah melontarkan saingan, baik dalam kelas CP150 mahu pun CP115.
Pasukan yang dilihat semakin menonjol dalam tiga pusingan terakhir adalah Maju Motor yang terus konsisten mengakhiri perlumbaan dengan kedudukan podium.
Walaupun peluang pelumba Maju Motor agak tipis untuk merampas gelaran juara keseluruhan bagi kategori pelumba, namun mereka masih di landasan yang tepat untuk menjulang mahkota keseluruhan kategori pasukan.
Pasukan YY Pang yang pada awalnya dilihat sebagai antara pasukan pilihan dalam kelas CP115, namun prestasi mereka agak menurun kebelakangan ini selepas kehilangan khidmat pelumba utamanya, Md Adib Rosley yang tidak dapat beraksi dalam dua pusingan iaitu di Kangar dan Tangkak.
Adib antara pelumba paling konsisten menyumbang mata buat pasukan YY Pang dan sasaran mereka kini hanyalah untuk memburu kedudukan tiga teratas kategori pasukan kelas CP115.
Bagi kelas Wira pula, gelaran juara keseluruhan juga masih terbuka dan ia kini menjadi perebutan antara Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing).
Aliff kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan meraih 132 mata manakala Zaki di kedudukan kedua dengan mengumpul 126 mata.
Dua pelumba muda ini perlu meraih mata maksimum jika berhasrat membawa pulang gelaran juara keseluruhan kelas Wira bagi musim 2019 ini.
Andai salah seorang daripada mereka tersilap langkah, maka impian untuk berada di puncak kejayaan akan musnah.
Apa pun, aksi di Sepang minggu ini amat menarik kerana ia akan menjadi medan penentuan buat semua pasukan mahu pun pelumba yang masih berada di landasan yang betul untuk memburu gelaran keseluruhan.
INFO – Kedudukan keseluruhan (pelumba)
CP150
Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 147 mata
Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 112
Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) -102
Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 93
Md Helmi Azman (Hi Rec SCK Honda Rcing) -78
Pasukan
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 219 mata
PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor – 215
Motul Yamaha YY Pang Racing – 186
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 159
ONEXOX TKKR SAG Team – 140
CP115 (Pelumba)
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 160 mata
Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 153
Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) – 101
Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 90
Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 85
Pasukan
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 219 mata
PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor – 205
Motul Yamaha YY Pang Racing – 189
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 165
ONEXOX SAG Team – 85
Wira (Pelumba)
Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 132 mata
Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 126
Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 104
Md Haziq Rosmaza (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 98
Akif Hakimi Zainuddin (Wiramuda V-Fiertech Academy Racing) – 75