Pendahulu keseluruhan kategori Wira ketika ini, Md Zaki Zamri berdepan tugas getir untuk mempertahankan kedudukannya menjelang saingan Cub Prix di Pontian, Johor minggu ini.
Cabaran berbeza buat para pelumba keran masih belum memahami sepenuhnya litar yang akan menjadi medan pertarungan mereka nanti.
Ini kerana, Pontian merupakan venue baharu dan semua pelumba masih belum dapat meramalkan bentuk litar yang bakal menjadi pentas aksi pusingan 4 itu hujung minggu ini.
Kategori Wira, antara perlumbaan yang wajar diberi tumpuan di kejuaraan Cub Prix kerana ia merupakan medan buat barisan pelumba muda negara untuk mempamerkan bakat mereka sebelum dilamar oleh pasukan-pasukan elit untuk bersaing dalam kelas perdana pada masa akan datang.
Selepas mengharungi tiga pusingan, Md Zaki yang menggalas cabaran pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, masih gah mempertahankan gelaran ‘wira’ selepas mengungguli perlumbaan pada Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.
Zaki bagaimanpun terlepas podium apabila sekadar menghuni tempat keenam pada perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang, namun terus kukuh mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 60 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) di tempat kedua dengan perbezaan 24 mata.
Md Zaki yang menunggang jentera Yamaha, boleh dikatakan sebagai calon terbaik untuk menguasai kelas Wira musim ini kerana prestasinya terus konsisten dalam setiap pusingan.
Begitupun, dia perlu tetap berhati-hati kerana pelumba Selangor seperti Sharul, Md Afizad Supaat mahupun pelumba tuan rumah, Md Aliff Danial Asri antara pencabar yang mampu menggugat kedudukannya.
Aliff dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing pernah bergelar juara pada saingan Pusingan 2 di Batu Kawan namun kedudukannya dalam carta keseluruhan agak terjejas gaga-gara gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 3 di Tangkak.
Sharul juga kurang bernasib baik selepas gagal menamatkan perlumbaan di Tangkak dan keputusan tersebut telah memusnahkan impian mereka untuk terus memberi tekanan kepada Md Zaki.
Afizad pula yang mewakili pasukan Super KIP Motorsports telah memperlihatkan sengatnya pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat kedua untuk mengumpul 20 mata.
Namun, rentaknya agak terganggu selepas itu apabila berdepan masalah mekanikal, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 2 dan 3.
Bagi Md Zaki, perlumbaan di selatan tanah air nampaknya menjadi kegemarannya kerana telah menguasai dua saingan awal sebelum ini iaitu di Melaka dan Tangkak, Johor dan memasang impian untuk menaiki podium di Pontian minggu ini.