Saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas akan diadakan di Tangkak, Johor pada 18-19 Oktober ini.
Jadual asal Pusingan 8 itu sepatutnya berlangsung di Kota Bharu, Kelantan tetapi ia terpaksa diubah ke venue lain bagi menghormati tempoh berkabung seluruh negeri Kelantan ekoran kemangkatan ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 28 September lalu.
Sepanjang tempoh berkabung selama 40 hari itu, segala bentuk hiburan atau aktiviti sukan tidak boleh dilangsungkan di seluruh negeri berkenaan.
Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad selepas mendapat perintah daripada baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Perubahan venue itu disahkan oleh promoter Cub Prix Malaysia, Safe Aim Mutual Sdn Bhd di ibu negara hari ini.
Dengan pemilihan Tangak sebagai venue baharu untuk Pusingan 8 itu, maka Tangkak kini akan menjadi hos kejuaraan tersebut buat kali kedua musim ini selepas menganjurkan saingan Pusingan 3 pada 3-4 Mei lalu.
Menurut Pengarah Urusan Safe Aim Mutual, Ron Hogg, pihaknya menghormati tempoh berkabung di negeri Kelantan selepas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra pada 28 September lalu.
“Pihak kami perlu mengubah venue asal Pusingan 8 ke Tangkak dan tarikhnya tetap sama. Langkah ini adalah sebagai tanda penghormatan kami terhadap tempoh berkabung selama 40 hari di seluruh negeri Kelantan.
“Dengan kesempatan ini, saya bagi pihak semua komuniti dan warga kerja Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat DiRaja Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra baru-baru ini,” jelas Ron.