Oleh Muhammad Aiman
Persiapan skuad 100PLUS Liga Premier Perlis tidak kurang hebatnya meskipun ada menyatakan hasrat turut mahu menarik diri sebelum ini.
Malah sama seperti Kelantan, skuad bimbingan Razip Ismail itu juga tidak membayangkan sebarang tanda-tanda mahu menarik diri apatah lagi sudah menandatangani dua pemain import iaitu bekas orang besi Pahang, Damion Stewart dan Park Yon Jun dari Korea Selatan selain mengharungi empat aksi persahabatan.
Mereka juga dalam proses mendapatkan pemain muda dari Queens Park Rangers yang belum didedahkan namanya secara pinjaman untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan.
Ketika dihubungi Sports247, Razip berkata, “Setakat ini belum ada apa-apa arahan dari pengurusan yang menyatakan mahu menarik diri ataupun meminta kita hentikan latihan. Pengurusan juga sudah memaklumkan QPR akan meminjamkan pemain B-23 mereka besar kemungkinan penyerang, jadi saya tidak rasa kalau mahu tarik diri semua ini akan dilakukan.
“Memang khabar angin seperti itu boleh jejaskan tumpuan pemain, tapi saya sudah mengingatkan mereka supaya tidak pedulikan semua itu, biar pengurusan selesaikan. Saya harap spekulasi seperti ini (tarik diri) tidak lagi kedengaran agar kita boleh terus fokus dalam persiapan pasukan.”
Tambah Razip, dia bagaimanapun masih belum boleh mengatakan persiapan pasukannya berada di landasan tepat memandangkan rata-rata pemain tempatan Singa Utara kurang berpengalaman.
“Saya masih mencari pemain tengah kerana itu posisi yang nampak agak goyah. Jadi saya mengharapkan kuota dua lagi import dapat segera diisi. Kehadiran mereka bukan sahaja boleh menampung kekurangan di beberapa posisi, tetapi mengimbangi pasukan ini yang dibina dari tenaga muda,” jelasnya.
Musim lalu, Singa Utara di bawah bimbingan Dollah Salleh menduduki tangga keenam liga dengan 34 mata hasil 10 kemenangan dan empat keputusan seri namun Razip mengakui ia bukan mudah untuk memperbaiki pencapaian itu jika melihat kepada skuad yang dia ada ketika ini justeru tidak meletak sebarang sasaran tinggi.
“Kita memulakan pra musim agak lewat susulan kekurangan dana, apapun kita akan tetap cuba beri yang terbaik. Apa yang penting, cukuplah jika kita terus kekal dalam Liga Premier, itu sudah cukup bagus tetapi jika boleh catat yang lebih baik, ia satu bonus buat pasukan,” ujar Razip.
Perlis akan membuka tirai aksi 100PLUS Liga Premier dengan menentang Angkatan Tentera Malaysia, 20 Januari depan.