LAPORAN media berhubung dakwaan jurulatih olahraga Selangor, Narinder Singh, mengenai kesilapan peralatan dalam acara 5,000 meter jalan kaki wanita yang memaksa atlet menghabiskan tambahan jarak 400 meter adalah dirujuk.
Jawatankuasa Teknikal Sukan Malaysia XX MSN 2022 telahpun membuat semakan berhubung dakwaan berkenaan dengan Ketua Delegasi Teknikal sukan olahraga, pengurus pertandingan, pegawai pencatat masa serta pegawai kontinjen terbabit dan didapati laporan yang disiarkan oleh portal berita âThe Vibesâ adalah tidak tepat.
Maklumat yang diperolehi daripada semua pihak terbabit mendapati tiada kerosakan kaunter pengira pusingan seperti yang didakwa dan semua atlet acara berkenaan menghabiskan jarak 5,000 meter seperti disyaratkan.
Tiada sebarang bantahan rasmi juga dikemukakan oleh mana-mana kontinjen ataupun atlet acara berkenaan. Rungutan daripada jurulatih Selangor itu juga tidak dilakukan secara rasmi dan tiada juga atlet Selangor yang memenangi sebarang pingat dalam acara berkenaan.
Catatan masa pemenang pingat emas, Kok Hui Ying 28 minit 45.81 saat untuk acara berkenaan sedikit perlahan berbanding catatan beliau iaitu 27:56.97 saat yang dilakukan di Terbuka Olahraga Wilayah Persekutuan bulan lalu, iaitu kurang satu minit.
Walau bagaimanapun, adalah agak mustahil untuk mana-mana atlet menghabiskan jarak tambahan 400 meter atau satu pusingan di bawah satu minit jika benar atlet berkenaan menghabiskan perlumbaan dengan jarak 5,400 meter seperti didakwa.
Jawatankuasa Khas Teknikal
Sukan Malaysia XX MSN 2022