Jurulatih Selangor B. Sathianathan sememangnya diketahui sebagai seorang yang cukup teliti di dalam pengambilan pemain import.
Beliau bukan seorang yang mengambil pemain import secara tangkap muat berdasarkan reputasi lampau sebaliknya cukup mementingkan kualiti.
Maka tidak hairanlah terlalu ramai pemain datang mencuba nasib namun akhirnya dihantar pulang kerana tidak menepati citarasa Sathianathan.
Terbaru skuad Red Giants yang sedang dalam revolusi besar-besaran sedang menguji pemain pertahanan dari Vietnam, Michal Nguyen yang diturunkan dalam aksi persahabatan pra-musim menentang UITM FC beberapa hari lalu.
Meskipun terdapat tanggapan bahawa bekas pemain kelab Thailand, Air Force Central itu sudahpun sah diikat Selangor, Sathianathan menjelaskan dia masih memerlukan masa untuk menilai lebih teliti kelibat pemain kacukan Vietnam-Republik Czech itu.
“Saya pernah kata hanya Thailand dan Vietnam ada pemain yang bagus untuk isi slot ASEAN, jika tidak saya rela untuk kita teruskan dengan empat import. Lagipun bukan mudah untuk pemain dari negara itu datang bermain di Liga Malaysia.
“Dalam masa sama, datang dari Thailand atau Vietnam bukan tiket automatik untuk mereka, mereka tetap perlu memikat saya dan jika menepati ciri-ciri yang saya mahukan, barulah saya akan mencadangkan kepada pengurusan untuk mengikatnya.
“Ketika ini saya masih lagi menguji dan membuat penilaian, mungkin dalam tempoh terdekat kita boleh tahu jawapannya. Seorang pemain yang bagus sebenarnya tidak perlukan masa yang lama untuk buktikan kredibilitinya kepada jurulatih,” kata Sathiananthan.
Sebagai rekod, Selangor setakat ini telah mengumumkan penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia dikekalkan untuk semusim lagi manakala empat import lain iaitu Evan Dimas Darmono, Ilham Udin Armayn, William Pacheco dan Alfonso De Cruz kesemuanya dilepaskan.
Sebagai pengganti, pasukan itu dilaporkan telah mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Felcra Endrick Dos Santos serta Antonio Timothy German, malah sedang turut menguji pemain dari Korea Selatan.
Selangor pada musim 2018 menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan dan gagal melepasi halangan peringkat kumpulan Piala Malaysia namun dalam saingan Piala FA mereka mara sehingga ke perlawanan akhir sebelum tunduk kepada Pahang.
Di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, pasukan itu dilihat sebagai sebuah pasukan yang berpotensi untuk menjadi salah sebuah pasukan yang mampu memberi tentangan sengit untuk mencabar kejuaraan.
Antara wajah-wajah baru yang telah dibawa masuk termasuklah Wan Zack Haikal, Faiz Nasir, Nurridzuan Abu Hassan, Farizal Harun, Abdul Latiff Suhaimi, Halim Shaari, Syazwan Zainon dan K.Prabhakaran. MUHD AIMAN