Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, mungkin itu paling sesuai menggambarkan perjalanan karier pemain sayap PDRM FA, Dirga Surdi yang dua musim lalu hanya sekadar beraksi di liga sosial.
Walaupun bukannya datang dari hierarki bola sepak seperti perlu beraksi di Piala Presiden dan Piala Belia atau berasal dari Sekolah Sukan, pemain yang berusia 21 tahun itu membuktikan jika tiada sikap putus asa dalam hidup, tiada apa yang mustahil dalam mengejar cita-cita.
Aksinya ketika menyarung jersi Puchong Fuerza musim lalu di pentas M3, membuka ruang buat Dirga menyerlahkan bakatnya sebelum dipikat oleh PDRM musim ini.
“Tahap tertinggi saya dulu semasa bersekolah menengah hanya pernah sampai wakil peringkat daerah sahaja dan tidak pernah ada peluang bermain di peringkat lebih tinggi.
“Cuma sejak dari Tingkatan 3, saya telah bermain di liga sosial dengan jurulatih, Zainul Mashi orang bertanggungjawab membawa saya bermain di situ.
“Habis sahaja sekolah, saya masih ingat lagi kata-kata salah seorang jurulatih Teleflow, Badrul Hisyam iaitu ayah kepada Azrif Nasrulhaq yang penuh inspirasi.
“Dia pernah kata kepada saya, jangan sesekali berasa putus asa dan tidak semestinya kena bersekolah sukan atau bermain di peringkat belia atau presiden jika mahu bermain di peringkat tertinggi pada satu hari nanti.
“Dari situ, saya terus berusaha walaupun hanya berbekalkan RM800 sahaja sebulan elaun secara purata sebelum peluang bermain di Puchong Fuerza musim lalu di bawah Nazrulerwan Makmor ternyata menjadi permulaan apabila dia menonton aksi saya ketika mewakili kelab NPEG Damansara Damai di Selangor Champions League.
“Akhirnya, awal musim ini, penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil menjadi orang bertanggungjawab memanggil saya hadiri pemilihan selepas pernah melihat saya bermain dalam salah satu perlawanan persahabatan dengan mereka pada musim lalu.
” Panggilan daripadanya (Eddy) sampai sekarang saya tidak boleh lupa kerana pada mulanya, saya ingatkan ada kawan-kawan mahu kenakan saya dengan membuat panggilan palsu tetapi rupa-rupanya tawaran bermain Liga Super dan memang saya tidak berfikir banyak kali untuk terima tawaran tersebut, ” katanya.
Selepas berjaya mengetuk pintu pasukan Liga Super, pemain yang berasal dari Kota Kinabalu ini meletakkan cita-cita mahu mewakili negara dalam skuad Bawah 23 tahun jika mendapat panggilan.
Dalam empat perlawanan dengan PDRM di pentas CIMB Liga Super, Dirga telah bermula tiga kali dalam kesebelasan utama berdepan Sabah,Melaka dan UiTM FC dan dimasukkan selaku pemain gantian ketika bertemu Johor DT (JDT).
Dalam masa sama,Dirga mengharapkan kisahnya mampu menjadi inspirasi kepada mereka yang tercicir di awal pembabitan dalam sukan bola sepak.
” Nasihat saya kepada adik-adik di luar sana, jangan sama sekali cepat mahu mengalah andai kata gagal mendapat tempat bermain di peringkat Presiden, Belia atau sebagainya.
” Jika kita memang berbakat,insya Allah rezeki tidak akan ke mana untuk kita bermain di Liga Super atau Liga Premier pada satu hari nanti dan yang paling penting, jangan berhenti bermain bola sepak,” katanya.