Sumbangan Allan Harris yang meninggal dunia pada usia 74 tahun Khamis lalu akan tetap dikenang walaupun tidak banyak berjaya dilakukannya dalam tempoh empat tahun memegang jawatan ketua jurulatih skuad bolasepak kebangsaan.
Harris hadir ke Malaysia dengan reputasi besar selaku bekas penolong kepada Terry Venables di Barcelona manakala ketika zamannya sebagai pemain, beliau pernah mewakili Chelsea lebih 100 kali selain turut menyarung jersi Coventry City, Queens Park Rangers, Plymouth Argile dan terakhir St. Patrick Athletic pada 1976.
Beliau dilantik menduduki ‘kerusi panas’ jurulatih Malaysia sebagai menggantikan Abdul Rahman Ibrahim pada Januari 2001 dengan nama-nama seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Rusdi Suparman, Indra Putra Mahyuddin, Hairuddin Omar dan Khalid Jamlus adalah antara yang terawal mendapat tunjuk ajarnya.
Selepas penampilan yang hambar di pusingan kelayakan Piala Dunia 2002, kejayaan pertama diraih di bawah bimbingan Harris adalah memenangi pingat perak di temasya Sukan SEA 2001 setelah tewas kepada Thailand di perlawanan akhir – pencapaian itu menoktahkan penantian selama 12 tahun pasukan negara untuk memenangi pingat di temasya dwitahunan itu.
Ketika di saingan Piala Tiger 2002 (kini Piala AFF Suzuki), Harris memacu Malaysia menamatkan peringkat kumpulan selaku juara, namun kecundang kepada Indonesia di separuh akhir dan kemudiannya tewas kepada Vietnam dalam penentuan tempat ketiga.
Thailand yang tewas 1-3 kepada Malaysia di peringkat kumpulan, muncul juara buat kali ketiga dengan menundukkan Indonesia.
Di Sukan SEA 2003, Malaysia gagal mempertahankan pingat perak selepas tunduk kepada Vietnam di separuh akhir namun pulang dengan gangsa setelah menundukkan Myanmar menerusi tendangan penalti dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Skuad negara kemudiannya mengharungi kempen yang hambar dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2004, menamatkan saingan di belakang Iraq dan Bahrain dan pencapaian terakhir di bawah Harris adalah menduduki tempat ketiga Piala Tiger 2004 dengan menundukkan Myanmar.
Selain kenangan di atas padang, antara memori luar padang yang pastinya dikenang ketika zaman Harris adalah apabila dia menyingkirkan tiga pemain – Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Aziz dan Khalid Jamlus kerana berada di kelab malam ketika dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 2001.
Harris membuat keputusan berani itu tiga hari sebelum aksi menentang Hong Kong dan mempertahankan tindakannya itu kerana tidak mahu ianya menjadi contoh yang tidak baik kepada pemain-pemain muda yang lain.
Menuju akhir kontraknya, Harris lantang dikritik kerana dikatakan cenderung memilih pemain kesayangannya yang bersifat ‘pak turut’ dan mengikut segala arahannya berbanding pemilihan mengikut prestasi semasa.
Dalam satu temuramah bersama portal antarabangsa beberapa tahun lalu, Harris mendedahkan bahawa dia bukannya melepaskan jawatan kerana khuatir diturunkan pangkat untuk mengendalikan skuad B-23 negara seperti diwar-warkan media, sebaliknya memilih untuk tidak menyambung kontraknya pada 2004 kerana mahu menghabiskan lebih masa bersama keluarganya di England dan Malaysia kekal sebagai pasukan terakhir pernah dikendalikan olehnya.
Salam takziah dari kami kepada keluarga mendiang Allan Harris, jasanya di dalam membangunkan bolasepak negara akan tetap dikenang. Harris adalah bekas jurulatih Malaysia yang kedua meninggal dunia pada tahun ini selepas Karl Heinz Weigang pada Jun lalu.OLEH MUHD AIMAN