Zumika

Aktif sejak sekolah, dua beradik orang asli ini kini mewakili negara di Sukan SEA. Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi,17 yang berasal dari suku kaum Temiar dan berasal dari Gua Musang Kelantan ini kelihatan pemalu namun berbakat besar dalam sukan kriket.

Sebelum mengenali sukan kriket, Zumika merupakan pelajar yang aktif mewakili sekolah dan negeri bagi acara bola baling dan lontar peluru manakala Sasha pula aktif dengan sukan lompat jauh. 

Semuanya bermula dengan kehadiran seorang jurulatih kriket menyedari kemahiran mereka berdua ketika pemilihan di peringkat sekolah.

” Pada masa itu Projek Kriket Nasional membuat pemilihan mencari bakat baru. Seingat saya jurulatih dari Sri Lanka itu melihat bakat kami adik-beradik bermain sukan kriket ini lalu kami dipilih untuk menyertai latihan yang selanjutnya ” jelas Zumika anak keempat dari sepuluh beradik itu.

” Sukan kriket ini agak mencabar dari sukan lain kerana memerlukan daya pemikiran yang tajam dan saya perlu bijak merancang permainan namun kami amat yakin untuk mendapat emas untuk Sukan SEA kali ini “.

Tambahnya lagi adik-beradik mereka yang lain tidak terlibat dengan sebarang sukan dan mereka merupakan harapan keluarga. 

” Ibu saya selalu pesan agar tidak mudah leka dan perlu berusaha lebih. Dari segi pelajaran pula  saya perlu ajar Sasha jika dia memerlukan saya dan kami harus ingat segala pesan dan ajaran cikgu “

“Untuk Sukan SEA kali ini saingan utama kami adalah pasukan Thailand namun kami yakin kami mampu menghadiahkan emas buat negara kerana kita akan bermain di tempat sendiri dan tentunya jika menang, ia merupakan hadiah yang paling bermakna buat kami sekeluarga “.

Kedua-adik beradik yang merupakan pemain skuad negara kini menjalani latihan bersama  jurulatih Thushara Prabath Kodikara sejak bulan Ogos lalu. 

“Saya gembira melihat prestasi Zumika dan Sasha untuk pasukan kriket ini. Saya juga gembira melihat pemain-pemain wanita yang memilih kriket sebagai sukan mereka dan sanggup bermain di bawah terik matahari “, jelas jurulatih tersebut.

“Kami sekarang berada di fasa terakhir sebelum menghadapi Sukan SEA setakat ini semua pemain berada dalam keadaan yang baik. Mereka hanya terlibat dengan kecederaan kecil seperti luka dan kejang otot semasa latihan dan perlawanan sebelum ini dan saya berharap mereka boleh bermain dengan baik semasa Sukan SEA nanti”. 

Perlawanan kriket wanita akan berlangsung pada 21 Ogos 2017 di stadium kriket (Kinrara Oval). – OLEH WANIE JEMAIN

- Advertisement -