Penyerang PJ City FC, Darren Lok hanya ingin pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum saingan Liga Malaysia 2022 bermula.
Pada musim ini, Darren telah terlepas sebanyak 13 perlawanan Liga Super susulan kecederaan di bahagian fibula dan turut diketepikan dalam skuad kebangsaan tempoh hari apabila mengalami kecederaan otot di bahagian perut.
Nyata, ia bukan musim yang memuaskan untuk pemain berdarah kacukan ini kerana dia percaya mampu untuk memberikan yang lebih baik sekiranya tidak dihantui dengan kecederaan apabila telah menjaringkan enam gol di pentas Liga Super dan TM Piala Malaysia.
“Otot di bahagian perut saya ada sedikit koyak dan saya diberitahu ia akan memakan masa dalam empat hingga enam minggu untuk betul-betul pulih sepenuhnya.
“Kecederaan ini semakin baik cuma tidak 100% lagi, jadi sebab itu saya kena pastikan semuanya akan kembali baik seperti biasa sebelum sepak mula musim depan.
“Jujurnya saya rasa saya boleh menjaringkan lebih banyak jika tidak cedera sebelum ini dan mungkin peluang untuk bersaing menjadi penjaring terbanyak itu akan ada untuk saya.
“Tapi, nak buat macam mana sebab kecederaan tetap berlaku dan sekarang adalah untuk lebih bersedia mempersiapkan diri di mana saya tekad ingin beraksi lebih cemerlang pada musim depan”, jelasnya.
Kekal bersama PJ City untuk musim depan, Darren tidak menolak pasukan itu telah menjadi medan terbaik untuk dirinya kembali menyerlah selepas mengakui cukup bergelut ketika bersama Terengganu FC pada musim 2020.
Untuk itu, pemain berusia 30 tahun ini merasakan ia adalah keputusan tepat untuk terus kekal bersama skuad itu buat musim kedua.
“Saya pilih untuk terus kekal dengan PJ City kerana kelab ini telah menjadi tempat yang cukup baik untuk saya dan bersyukur apabila sentiasa mendapat peluang untuk diturunkan baik sebelum cedera dan selepas pulih.
“Saya gembira apabila kami sentiasa ada antara satu sama lain di sini (PJ City) daripada pihak pengurusan, jurulatih dan pemain-pemain lain, semuanya sudah macam keluarga.
“Kami melakukan tugas yang baik pada musim ini dan saya percaya kami akan terus berjuang untuk membuktikan pasukan ini akan terus cemerlang pada musim depan”, tambahnya.
Untuk rekod, PJ City telah menamatkan aksi dalam saingan Liga Super di kedudukan ketujuh pada musim ini.