Pemain tengah UKM FC, Helmi Hariri Ibrahim yang sedang menjalani pemulihan kecederaan patah tulang belakang, menerima suntikan semangat apabila syarikat produksi sukan, Labola Malaya berjaya mendapatkannya tajaan rawatan rehabilitasi dari DBC Healthcare.
DBC Healthcare merupakan pusat pemulihan fisioterapi terkemuka berpangkalan di Helsinki dan mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh dunia, sembilan di Malaysia. Mereka pakar dalam merawat kecederaan berkaitan musculoskeletal (tulang, otot, tendon, ligament dan saraf) seperti tulang belakang dan lutut.
Ketua Pegawai Eksekutif DBC Malaysia, Wee Hock Kee berkata, “Ini satu daripada komitmen kami untuk mempromosikan rehabilitasi sukan di Malaysia. Dia masih muda, baru 23 tahun dan mempunyai semangat dan determinasi tinggi. Kami tidak mahu kariernya berakhir begitu saja dan itu membuatkan kami terpanggil untuk membantu.
“Dia sedang menjalani pemulihan yang cukup baik di sini dan apabila tamat rawatan di sini dan dibenarkan pulang, DBC akan menawarkan sesi rehabilitasi buatnya untuk dia mendapatkan semula kekuatan dan memperbaiki semula fungsi tubuh.”
Beliau hadir melawat Helmi dengan diiringi Pengerusi Bahagian Pendidikan Persatuan Fisioterapi Sukan Finland, Peter Halen. Turut hadir jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.
Helmi yang juga merupakan adik kepada pemain JDT II, Syahrul Azwari mengalami kecederaan serius itu selepas terjatuh dari ketinggian hampir empat meter pada 2 Januari lalu.
Dia dianggap sebagai salah seorang pemain tonggak pasukan apatah lagi telah mempamer aksi cemerlang untuk membantu UKM FC muncul naib juara Piala FAM 2017 seterusnya layak beraksi di Liga Premier musim ini.
Sebagai tanda penghargaan kepada sumbangannya, UKM FC membuat keputusan untuk tidak menamatkan kontrak atau mencari pengganti Helmi sebaliknya akan kekal dengan barisan pemain tempatan sedia ada di dalam skuad. – OLEH MUHAMMAD AIMAN