Debaran menantikan pertembungan Malaysia dan Thailand dalam aksi final bolasepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 jam 8.45 malam ini semakin memuncak tatkala penyokong kedua-dua pasukan sudah mula membanjiri Stadium Shah Alam sejak jam 4 petang.
Tinjauan di sekitar perkarangan stadium mendapati suasana cukup meriah antaranya dengan jualan jersi dan cenderamata KL2017, mengecat muka, selain persembahan buskers dan kumpulan sorak kedua-dua pasukan.
Ini adalah kali kelima Malaysia dan Thailand bertemu dalam aksi akhir Sukan SEA bagi menentukan pemenang ‘ibu segala emas’ selepas edisi 1975, 1977, 1981 dan 2001.
Salah seorang penyokong Malaysia, Khairul Nazrin Zulkifli, 39, yang tiba dari Melaka pagi ini berharap skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee dapat menterjemahkan aksi terbaik bagi menamatkan penantian enam tahun untuk merampas semula emas dari tangan Thailand.
“Pada 2001, saya tidak dapat menyaksikan final Sukan SEA kerana sedang melanjutkan pelajaran di luar negara tetapi kali ini saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan ini.
“Walaupun kita sudah menang pada 2009 dan 2011 ianya pasti lebih menarik dan satu kepuasan jika kita dapat lakukannya di bumi sendiri itupun dengan menundukkan Thailand,” katanya.
Penyokong Thailand, Sapsiree Jaidee, yang merupakan seorang pelajar di salah sebuah universiti swasta di Cyberjaya berharap Thailand dapat meneruskan dominasi mereka di rantau Asia Tenggara dan bergelar juara buat kali ke-16.
“Sebelum ini saya jarang keluar dan banyak habiskan masa di rumah. Tetapi kerana ini perlawanan besar dan jarang dapat saksikan Thailand beraksi secara langsung depan mata, saya dan kawan-kawan nekad datang awal pagi semalam dan berjaya dapatkan tiket di kaunter khas untuk penyokong Thailand. Saya percaya Thailand mampu mempertahankan emas walaupun berdepan tuan rumah yang belum pernah tewas,” kata Sapsiree.
Sementara itu, peniaga jersi, Saufee Hamid yang juga bekas penyerang skuad Liga Super Terengganu berkata dia beroleh keuntungan yang agak lumayan sejak semalam sehingga terpaksa menambah bilangan t-shirt dan jersi yang dijual.
“Sebelum ini, saya jarang memperolehi keuntungan yang agak besar seperti yang diperoleh sejak semalam,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan menjual jersi pasukan tempatan sejak setahun lepas. – OLEH MUHAMMAD AIMAN