Sivasangari Subramaniam
“Agak teruja, kerana saya langsung tidak menjangka dapat menewaskannya dalam straight set”, tambah S.Sivasangari pemain berusia 17 tahun itu. Kredit Foto – Facebook.com/sangari.lemon

Sambutan Deepavali hari ini lebih manis buat pemain skuash remaja kebangsaan, S.Sivasangari apabila dia melakar sejarah menjulang gelaran Sirkit Skuash Jelajah Malaysia (SSJM) yang keenam berturut-turut dengan menjuarai pusingan terakhir SSJM di Kuantan.

Lebih bergaya, kemenangannya kali ini adalah dengan menewaskan pilihan utama kejohanan di ranking ke-42 dunia, Tong Tsz Wing dari Hong Kong 3-0 (11-7, 13-11, 11-7) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Skuash Kuantan.

“Agak teruja, kerana saya langsung tidak menjangka dapat menewaskannya dalam straight set. Ianya sesuatu yang hebat untuk muncul juara buat kali keenam berturut-turut dan kekal tidak tewas dalam SSJM,” ujar Sivasangari yang meraih US$902 (RM3, 789) di atas kejayaannya.

Sivasangari Subramaniam
Deepavali lebih manis buat Sivasangari. Kredit Foto – Facebook.com/sangari.lemon

Tambah pemain berusia 17 tahun itu, “Sudah tentunya sambutan Deepavali lebih meriah buat saya bukan sahaja atas kejayaan menyapu bersih SSJM, tetapi juga sebagai meraikan kejayaan di Kejohanan B-19 Asia di Kuala Lumpur bulan lalu.”

Tanpa ragu, kejayaan terbaru ini menjadikan pemain dari Kedah itu sebagai pilihan utama melengkapkan pasukan wanita negara yang dibarisi Dato’ Nicol David, Delia Arnold dan Low Wee Wern untuk beraksi di Kejohanan Skuash Berpasukan Dunia Wanita di Paris dari 28 November – 3 Disember depan.

Sementara itu, bagi aksi kategori lelaki, pemain negara Elvinn Keo merangkul gelaran SSJM keduanya setelah bekerja keras menewaskan rakan sepasukan Valentino Bong 3-2 dalam perlawanan akhir.

Elvinn, pemain berusia 28 tahun yang menjuarai pusingan pertama SSJM pada Disember lalu gembira menepati sasaran diletakkannya di saingan pusingan keenam ini dan kemenangan membolehkannya meraih hadiah wang tunai US$902 (RM3,789).

- Advertisement -