Biarpun ramai yang menganggap populariti Le Tour de Langkawi (LTdL) sudah berkurangan, namun hakikatnya perlumbaan paling berprestij di Asia itu masih punya ramai pengikut.
Mohd.Raimi Ramli sanggup memandu sejauh 159 kilometer dari Maran, Pahang ke Kerteh untuk menonton aksi penamat peringkat kedua LTdL 2020.
Apa yang istimewa, dia tidak datang bersendirian, sebaliknya membawa 20 ahli keluarga dengan melibatkan 10 buah kereta.
Malah kata Raimi, mereka bercadang untuk ke KLCC bagi memeriahkan peringkat ketiga dari Temerloh ke Kuala Lumpur esok.
“Saya memang tidak pernah ketinggalan menonton LTdL setiap tahun tetapi selalunya kami hanya menunggu perlumbaan di Maran.
“Tahun ini kebetulan ada program berbasikal bawah tujuh tahun yang diadakan di Kerteh, seorang anak saya terlibat, jadi seluruh keluarga memutuskan untuk datang ke sini beramai-ramai ke sini.
“Sebagai peminat berbasikal, LTdL sentiasa dekat di hati saya. Apatah lagi saya berasal dari Terengganu, negeri yang popular dengan lumba basikal,” kata Raimi.
Menurut Raimi, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang adalah pelumba kegemarannya dan keluarga.
“Bagaimanapun untuk pasukan lebuh raya, saya sokong Terengganu Cycling Team (TSG) dan tentunya Harrif Saleh,” katanya lagi.