Tatkala Johor Darul Takzim (JDT) sudah bersedia untuk mengucup trofi Liga Super buat kali keempat berturut-turut pada Sabtu, persaingan di zon relegasi tampak lebih sengit membabitkan empat pasukan – Kelantan, Melaka, Sarawak dan Pulau Pinang.
Harimau Selatan yang berkelebihan 11 mata ke atas pasukan tangga kedua, Kedah akan sah bergelar juara seandainya tidak tewas kepada Selangor di Stadium Selayang sekaligus menyaksikan pemburuan kejuaraan berakhir dengan masih berbaki tiga perlawanan.
Namun Kelantan, Melaka , Sarawak dan Pulau Pinang yang hanya dipisahkan lima mata sesama mereka berada dalam fasa getir dan perlu sedaya upaya mencatat keputusan positif dalam baki perlawanan untuk mengelak tersingkir ke saingan 100PLUS Liga Premier musim depan.
Ketika ini Kelantan di kedudukan kesembilan (17 mata), diikuti Melaka (15 mata), Sarawak (14 mata) dan Pulau Pinang di kedudukan tercorot dengan 12 mata. Selain empat pasukan ini, T-Team yang berada di tangga kelapan dengan 19 mata juga dilihat belum selamat.
Menariknya, aksi minggu ini menyaksikan Kelantan melayan kunjungan pasukan tangga keempat Felda United di Kota Bharu, manakala Melaka bertandang ke Kuala Terengganu menentang T-Team dan Sarawak pula berdepan Pulau Pinang di Kuching.
Mengambil kira prestasi semasa, Kelantan yang tewas lima perlawanan terakhir liga dan kali terakhir mencatat kemenangan pada 6 Mei iaitu tiga bulan lalu perlu mengharapkan keajaiban untuk mencuri mata dari Felda United.
Apatah lagi skuad bimbingan B.Sathianathan itu sedang memuncak prestasi mereka ketika ini dan mengintai peluang menamatkan musim di kedudukan tiga teratas.
Malah, The Red Warriors bimbingan Zahasmi Ismail juga tidak mempunyai rekod yang baik di gelanggang sendiri – tewas lapan dari sembilan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Baki tiga lagi aksi The Red Warriors selepas ini adalah menentang JDT di Larkin (20 September), PKNS di Kota Bharu (27 September) dan Melaka di Hang Jebat(28 Oktober).
Sementara itu, Melaka yang menyalakan peluang untuk kekal dalam Liga Super dengan menewaskan Sarawak minggu lalu dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk memperbaiki kedudukan kerana T-Team hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir.
Tiga aksi berikutnya buat skuad Eduardo Almeida iaitu menentang Perak, Selangor dan Kelantan pula kesemuanya adalah di gelanggang sendiri.
Begitupun T-Team mungkin boleh mengharapkan tuah gelanggang sendiri memandangkan mereka hanya pernah tewas sekali kepada JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Manakala Sarawak dan Pulau Pinang, kekal sebagai ‘pilihan’ pemerhati untuk tersingkir namun keputusan pada Sabtu bakal menjadi penentu sama ada masing-masing mampu menterjemahkan material yang diperlukan untuk terus bersaing di pentas tertinggi liga bolasepak tempatan.
Peluang Sarawak dilihat lebih berliku memandangkan mereka masih ada baki perlawanan menentang Pahang, Kedah dan T-Team manakala Pulau Pinang pula mempunyai perlawanan menentang T-Team, Perak dan Selangor.
Siapakah di antara lima pasukan itu yang bakal menyelamatkan diri, debarannya semakin terasa! – OLEH MUHAMMAD AIMAN