Oleh Muhammad Aiman
Pengendali Kelantan, K.Devan gagal menyembunyikan rasa kecewanya terhadap prestasi longlai yang ditunjukkan pemainnya yang membawa kepada kekalahan terbaru pasukan itu kepada T-Team dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada Selasa.
Kelantan, di sebalik berjaya dua kali bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 di babak pertama, tewas kepada tuan rumah dengan jaringan 2-4 dan Devan menyifatkan anak buahnya tidak sedikitpun menunjukkan aksi menghampiri prestasi sebenar yang menjadi punca kekalahan itu.Â
âSaya tidak berpuas hati dan kecewa dengan kekalahan ini. Pemain tidak bermain dengan baik khususnya pertahanan, dan membuka ruang buat lawan menjaringkan gol. Kita banyak buat kesilapan mudah di mana gol-gol mereka berpunca dari kesilapan kita sendiri, dan kita juga gagal menyempurnakan peluang di depan gol,â katanya ketika dihubungi Sports247.
Pada perlawanan menentang T-Team, Kelantan tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan import, Jonathan McKain yang mengalami kecederaan sekaligus memaksa Devan untuk mengandingkan Muslim Ahmad dan Farisham Ismail di pertahanan tengah.
Ketiadaan McKain ternyata membuka ruang kepincangan di barisan pertahanan The Red Warriors yang dilihat agak kucar-kacir setiap kali T-Team melakukan serangan yang akhirnya menyaksikan mereka melepaskan empat gol, sekaligus menghadiahkan pasukan lawan kemenangan pertama musim ini.
Untuk rekod, Kelantan tidak melalui musim yang memberangsangkan apabila sekadar menang dua dari enam perlawanan Liga Super selain tersingkir di pusingan ketiga Piala FA dan turut berdepan kritikan hebat dari peminat setia mereka yang mempersoalkan kredibiliti pemain import terutamanya Dramane Traore yang hadir ke Kota Bharu dengan reputasi gah.
Di sebalik memiliki nama besar bola sepak tanah air seperti Khairul Fahmi Che Mat, Badhri Radzi, Wan Zack Haikal, Indra Putra Mahyudin dan Wan Zaharulnizam Zakaria, kegagalan Kelantan untuk beraksi pada potensi sebenar ternyata menimbulkan persoalan di kalangan peminat sehingga ada yang beranggapan ianya konspirasi untuk menyingkirkan Devan dari kem pasukan itu.Â
Devan menepis dakwaan itu dan mengganggap ianya tidak berasas sambil menegaskan dia akan terus komited untuk melonjakkan semula prestasi The Red Warriors dan mengembalikan kepercayaan peminat yang semakin pudar terhadap keupayaannya.
Kelantan akan berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim yang sedang berada di kemuncak prestasi pada 8 April ini dan berdasarkan situasi terkini ianya jelas cabaran sukar buat Devan untuk mengharapkan kebangkitan segera dari pemainnya.