Pengendali Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA), K.Devan tidak mahu pasukannya terus terbuai dengan kejayaan memalukan juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin dalam aksi pertama Piala Malaysia pada Ahad.
Jurulatih berpengalaman itu lebih gembira seandainya barisan pemain MIFA menjadikan ia sebagai motivasi untuk terus mencatat keputusan yang positif dalam aksi Kumpulan C.
“Saya tidak jangka kita boleh tumbangkan mereka, tetapi itu bukan bermakna kita perlu mendabik dada. Saya juga tidak mahu secara tiba-tiba memasang impian yang bukan-bukan kerana lawan kita dalam peringkat kumpulan semuanya berkualiti.
“Kedah dan Kelantan pastinya akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu nasib sama berulang ke atas mereka, jadi yang penting adalah kita terus perbaiki prestasi, fokus dan kerah kudrat terbaik ketika hari perlawanan. Jika dapat teruskan kemaraan, itu adalah satu bonus bagi kita,” ujar Devan. Â
Dalam aksi tersebut, MIFA yang beraksi pertama kali dalam saingan Piala Malaysia mendahului 1-0 menerusi sentuhan penyudah Kpah Sean Sherman pada minit ke-19. Perlawanan bagaimanapun seperti diduga didominasi oleh tuan rumah dan mereka berjaya untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi penalti disempurnakan Fernando Marquez di pertengahan separuh masa kedua.
Ketika JDT rancak melakukan asakan untuk memburu gol kemenangan, sedikit kelekaan di pertahanan menyaksikan gerakan cantik yang dimulakan oleh pemain dipinjam dari Kelantan LâImam Seydi disudahkan oleh Bae Beom Geun yang merembat deras tanpa mampu sama sekali diselamatkan Farizal Marlias.
Selepas ini, MIFA akan berdepan bekas pasukan yang pernah dibimbing Devan, Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat (10 Ogos). – OLEH MUHAMMAD AIMAN