Gara-gara gagal mengawal emosi seminit, penjaga gol Johor Darul Takzim, Farizal Marlias menerima padah apabila dikenakan hukuman gantung dari mana-mana aktiviti bolasepak selama setahun dan denda AS$40,000 (RM170,500) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkuatkuasa serta-merta.
31 Mei lalu, Farizal hilang pertimbangan apabila bertindak agresif mengasari (menolak) pengadil dari China, Fu Ming serta pembantunya setelah dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara menentang Ceres Negros di Bacolod City, Filipina.
Penjaga gol kebangsaan itu bertindak sedemikian kerana membantah keputusan pengadil itu menghadiahkan sepakan penalti yang membawa kepada kekalahan minit akhir JDT.
AFC dalam satu kenyataan pada Jumaat mengumumkan, âIntegriti fizikal pegawai perlawanan perlu dihormati dan dijaga setiap masa. Farizal diarah keluar padang di atas tindakannya menggunakan tangan menolak pengadil di dada.
âDia turut menggunakan bahu menolak pegawai perlawanan pertama, kedua dan keempat yang mana kelakuannya boleh disifatkan sebagai ganas dan menjejaskan keharmonian dalam bolasepak.â
Melalui hukuman itu, AFC menyatakan Farizal tidak boleh terbabit dengan mana-mana aktiviti bolasepak di seluruh Asia sama ada ianya pertandingan peringkat domestik, serantau, benua mahupun perlawanan persahabatan, rasmi atau tidak rasmi. Â
Begitupun, hukuman terhadap Farizal itu boleh dianggap sebagai ringan kerana bekas penjaga gol Kelantan, Halim Napi pernah dikenakan hukuman gantung seumur hidup oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1997 kerana cuba menyerang pengadil (tidak langsung menyentuh pengadil).Â
Tanpa Farizal sehingga pertengahan musim 2018, JDT kini akan meneruskan kempen Liga Malaysia dengan kelibat seorang lagi penjaga gol kebangsaan Izham Tarmizi Roslan dan penjaga gol muda, Haziq Nadzli dan berkemungkinan besar akan menyerap penjaga gol âfeeder clubâ mereka, JDT II, K.Sasikumar.
Farizal yang mempunyai 35 kap antarabangsa tidak dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh pengendali, Nelo Vingada bagi persiapan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 13 Jun depan dengan Izham, Hafizul Hakim dan Khairul Azhan Khalid menjadi pilihannya.
Dalam pada itu, pengendali JDT, Benjamin Mora turut dikenakan hukuman denda AS$7,000 (RM29,800) kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan pada perlawanan sama. Â – OLEH MUHAMMAD AIMAN