Oleh Muhammad Aiman
Jaringan tunggal pemain import, Dilshod Sharafetdinov sepuluh minit sebelum tamat permainan menyaksikan T-Team melakar kejutan menewaskan Felda United 1-0 seterusnya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 2-1.
Aksi di Stadium Tun Abdul Razak menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mencari gol awal namun gagal memecah kebuntuan sehinggalah Dilshod menanduk masuk hantaran Norhakim Hassan pada minit ke-80 yang menjadi pemisah sehingga tamat perlawanan.
Ia jelas tamparan hebat buat Felda yang mensasarkan mahu menjulang Piala Malaysia setelah dikecewakan JDT dalam aksi Liga Super manakala bagi T-Team, ini adalah kali kedua mereka mara sejauh empat pasukan terbaik selepas melakukannya pada 2011.
âPemain-pemain bermain dengan motivasi yang baik, disiplin yang baik, visi yang jelas. Keinginan mereka untuk menang mengatasi segalanya, mereka sedar dalam keadaan agregat 1-1 mereka perlu menjaringkan gol untuk kekal dalam permainan dan berjaya melakukannya pada detik yang tepat,â kata Rachmat Dermawan, jurulatih T-Team.
Manakala jurulatih Felda, Irfan Bakti meratapi kegagalan barisan serangannya menyudahkan peluang terhidang, âBeza antara Felda dan T-Team adalah mereka menjaringkan gol dan kami tidak. Kami cipta banyak peluang, tetapi pemain-pemain saya lupa cara nak jaringkan gol, T-Team pula cipta satu peluang dan dapat satu gol.
âMemang kecewa untuk tewas begini, apatah lagi T-Team bukanlah sebuah pasukan yang kuat, cuma malam ini mereka menunjukkan mereka lebih baik dari kita. Â
Menanti T-Team di separuh akhir adalah juara bertahan Selangor yang mara setelah menewaskan PKNS Selangor juga dengan jaringan 1-0 (agregat 5-3) di Stadium Shah Alam menerusi jaringan tunggal Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-55.
Sementara itu, finalis tahun lalu, Kedah turut melangkah ke separuh akhir setelah beraksi garang untuk membelasah juara 2011 Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Darul Aman.
Setelah beraksi âlembikâ mencatat seri tanpa jaringan di Paroi 28 Ogos lalu, Lang Merah tampak tidak mahu mengulangi aksi sama di hadapan penyokong sendiri dan mendahului 3-0 di separuh masa pertama hasil dua jaringan Shane Smeltz serta satu menerusi Thiago Augusto.
Thiago dan Liridon Krasniqi menambah satu gol masing-masing di babak kedua untuk memastikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kekal di landasan mengulangi pencapaian layak ke final musim lalu, seterusnya cuba mengintai kejuaraan Piala Malaysia pertama mereka sejak 2008.
Kedah akan bertemu PDRM yang mara ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan meskipun tewas 0-1 (agregat 2-2) kepada Kelantan di gelanggang sendiri di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Kelantan yang perlu menang dua gol tanpa balas setelah tewas 1-2 di Kota Bharu mendahului menerusi jaringan kapten, Badhri Radzi pada minit ke-35 namun PDRM ampuh bertahan untuk menafikan hajat juara 2012 itu untuk menjelmakan kebangkitan.