Oleh Muhammad Aiman
Dominasi dua tahun Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan hoki Piala TNB atau kini dikenali sebagai pertandingan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra dinoktahkan oleh Tenaga Nasional Berhad yang menyingkirkan juara bertahan itu di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada Selasa.
TNB yang bergelut di kedudukan tercorot Liga Hoki Malaysia dengan hanya dua mata dari enam perlawanan selain tewas dua perlawanan terakhir kepada Sapura, menampilkan antara aksi terbaik mereka musim ini untuk merakam kemenangan 3-2 ke atas THT dan melangkah ke final dengan penuh bergaya.
Pemain meningkat naik, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan muncul wira TNB apabila menjaringkan gol kemenangan 10 saat sebelum tamat perlawanan, namun sejujurnya TNB perlu berterima kasih kepada kudrat penjaga gol kebangsaan, S.Kumar yang cemerlang menangani 16 dari 17 pukulan sudut penalti milik THT.
âSaya beritahu pemain supaya melupakan tentang aksi liga kerana peluang kita menang memang tiada sebaliknya cuba untuk menamatkan musim dengan sekurang-kurangnya satu trofi dan ini adalah peluang terbaik kita. Saya cukup gembira dengan pemain-pemain kerana mereka tampil pada prestasi terbaik untuk menangi perlawanan separuh akhir ini.
âIanya aksi yang cukup menakjubkan dari kesemua pemain, terutamanya penjaga gol S.Kumar. Dia beraksi cukup luar biasa dan menggagalkan hampir kesemua percubaan THT. Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya di atas kemenangan ini,â kata Amin Rahim, ketua jurulatih TNB.
TNB, satu-satunya pasukan menyandarkan sepenuhnya kepada tenaga pemain tempatan mendahului pada minit ke-15 menerusi Syed Syafiq sebelum Jang Jung Hyun menyamakan kedudukan 1-1 buat THT pada minit ke-21.
Azammi Adabi mengembalikan pendahuluan kepada TNB hanya seminit kemudian namun kedudukan kembali terikat 2-2 hasil jaringan bekas penyerang kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-42 sebelum pukulan sudut penalti Syed Syafiq pada minit akhir memastikan THT berputih mata.
Lawan yang menanti TNB di final adalah Sapura yang melangkah setelah menewaskan wakil Divisyen Satu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Bandar Penawar.
Gol buat skuad bimbingan Yahya Atan dijaringkan oleh Joel Samul Van Huizen pada minit ke-18, Izad Hakimi Jamaludin (m-40), Oscar William Wookey (m-41) dan Firhan Ashaari (m-44) manakala gol tunggal SSTMI dijaringkan oleh Luqman Hakim Asri (m-22).
Aksi final antara TNB dan Sapura yang menyaksikan RM70,000 menjadi rebutan bakal berlangsung pada 13 September depan di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.