Tatkala tumpuan di Litar Antarabangsa Sepang terarah kepada Marc Marquez, Jorge Lorenzo dan Valentino Rossi, pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso melakar kejutan apabila meraih petak paling depan selepas melakar masa terpantas dalam sesi kelayakan.
Pelumba kelahiran Itali ini melakukan tunggangan mantap untuk catatan masa 2 minit 11.485 saat sekaligus meraih petak utama diperlumbaan GP Malaysia esok.
“Saya kembali ke pit untuk menukar tayar kerana yang sebelum ini agak lembut, ternyata ianya membuahkan hasil dan saya berjaya melakar masa yang baik. Saya puas hati kerana berjaya meraih petak depan.” Kata Andrea Dovizioso.
Dalam pada itu, bekas juara dunia, Valentino Rossi meraih petak kedua selepas mencatat masa 2 minit 11.371 saat, ketinggalan 0,246 saat didepan Dovizioso.
Manakala rakan sepasukan, Jorge Lorenzo pula menduduki tempat ketiga selepas sekadar melakar masa 2 minit 11.787 saat.
“Permukaan litar yang cukup baik. Saya terlalu memberi tekanan ke atas motor menyebabkan tayar menjadi cepat panas diawalnya, saya kembali memecut ketika dibeberapa selekoh terakhir dan tayar kembali panas.
Walaubagaimanapun saya berpuas hati dengan sesi kelayakan dan kedudukan yang berjaya diperolehi hari ini.” Kata Jorge Lorenzo.
Juara dunia 2016, Marc Marquez terpaksa bergelut untuk mendapatkan kedudukan terbaik di sesi kelayakan dan hanya mampu melakar masa keempat terpantas, 2 minit 11.874 saat.