Oleh Ku Mohd Lufti
Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso meraih kemenangan pertamanya musim ini selepas menjuarai GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
Podium cukup bermakna buat pelumba keIahiran Itali ini kerana ini adalah kemenangan sulungnya selepas kali terakhir memenangi perlumbaan pada 2009.
Dovizioso menamatkan perlumbaan dipetak depan sepanjang 19 pusingan itu yang berlangsung dalam keadaan hujan dengan catatan 42 minit 27.333 saat.
Rakan senegaranya, Valentino Rossi daripada Yamaha Movistar akur ditempat kedua dengan 42 minit 30.448 saat.
Sementara rakan sepasukan Rossi, Jorge Lorenzo melengkapkan podium dengan catatan 42 minit 39.257 saat untuk meraih tempat ketiga.
Malang buat Juara Dunia 2016 Marc Marquez daripada Repsol Honda yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan 43 minit 3.813 saat.
“Perlumbaan ini amat sukar. Rossi amat pantas, tetapi saya tidak berputus asa dan mengelak melakukan kesilapan. Sepang merupakan satu daripada trek kegemaran saya walaupun saya tidak pernah menang di sini sebelum ini.
“Saya gembira dengan prestasi motosikal dalam keadaan trek basah ini kerana saya mampu mengekalkan kelajuan yang sama dari awal hingga akhir. Keputusan ini amat penting bagi pasukan Ducati,” kata Dovizioso.
Kemenangan sebelum ini dicatatkan Dovizioso adalah pada 2009 di Great Britain.
Sementara itu, prestasi Rossi menyaksikannya menduduki tempat kedua dalam kedudukan kejohanan dunia MotoGP musim ini selepas mengumpul 236 mata di belakang Marquez dengan 278 mata.
Bagi Rossi, dia mula mengalami masalah apabila trek beransur-ansur kering ketika perlumbaan berlangsung.
“Apabila air (menjadi) semakin kurang, saya berdepan masalah dengan tayar depan dan terpaksa lebih perlahan. Secara keseluruhannya perlumbaan adalah baik, Dovizioso dan motosikalnya beraksi amat baik,” kata Valentino Rossi.