Mereka mungkin berstatus elit, namun andai prestasi semasa tidak meyakinkan maka tiada siapapun terjamin tempatnya untuk berada dalam skuad yang akan membawa cabaran di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Itulah situasi terjadi kepada dua atlet gimnastik berirama – Wong Poh San (gambar utama) dan N. Shasangari Sivaneswary yang juga atlet dalam Program Podium apabila nama mereka disisihkan dari skuad KL 2017 selepas berakhirnya sesi pemilihan di Bukit Jalil pada Rabu lalu.
Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low berkata pihaknya membuat keputusan untuk hanya memilih empat gimnas terbaik berdasarkan prestasi ditunjukkan ketika pemilihan iaitu Izzah Amzan (55.92 mata), Chong Lok Yi (52.47), Amy Kwan (49.91) dan Koi Sie Yan (48.28).
Manakala Shasangari dan Poh San pula sekadar mengumpul 44.35 dan 33.30 mata masing-masing.
“Kami bersimpati dengan Shasangari kerana dia masih bergelut untuk kembali kepada prestasi sebenar setelah mengalami kecederaan buku lali pada Februari lalu. Dia tidak dapat melakukan lompatan dengan baik. Begitu juga dengan Poh San, dia tidak berada pada tahap prestasi terbaiknya.
“Amy (gimnas paling senior) juga mengalami kecederaan buku lali ketika pemilihan namun begitu dia masih berjaya menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk berada di kelompok empat terbaik. KL 2017 sudah semakin hampir, jadi kita mahu semua gimnas untuk bebas kecederaan,” kata Petrina yang juga Pengerusi Teknikal Gimnastik Berirama.
Dalam pada itu, MGF turut menamakan enam gimnas bagi membawa cabaran dalam acara berpasukan iaitu Amira Sofiya Amirul Fares, Chan Mei Thung, Tee Wei Wen, Tee Wei Qi, Thew Yue Jia dan Koh Jei Yi.
Petrina berkata sasaran yang diletakkan terhadap skuad gimrama adalah untuk memenangi enam daripada mana-mana lapan pingat emas yang ditawarkan.
Lapan acara yang dipertandingkan di KL 2017 yang akan berlangsung dari 19-30 Ogos adalah berpasukan, individual all-around, gelung, bola, belantan, riben, senaman berpasukan (lima gelung) dan senaman berpasukan (tiga bola dan dua tali).
Pencapaian terbaik Malaysia di arena Sukan Sea adalah pada temasya KL 2001 di mana mereka menyapu bersih kesemua enam emas yang dipertandingkan, dengan Goh Yi Wei memenangi empat daripadanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN