Dua beregu wanita negara mengetuai barisan 5 beregu negara yang melangkah ke suku akhir badminton Perodua Masters Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.
Pasangan M.Thinaah-Pearly Tan tampil dengan aksi garang di pusingan kedua dengan menewaskan beregu dari Jepun Sayaka Hirota-Yuki Fukushima, pilihan ke-4 kejohanan dengan keputusan straight set 21-14, 21-19 dalam masa 41 minit.
“Kemenangan ini nyata memberikan semangat baru untuk kami di suku akhir nanti, kami cuba bermain secara tenang dan tidak terburu-buru, mereka pasangan yang cukup berpengalaman dan bukan mudah untuk tewaskan mereka… terima kasih juga kepada penyokong yang hadir yanh memberi kami semangat untuk capai kemenangan ini, kata Pearly Tan.
Di suku akhir nanti, Thinaah-Pearly akan membuat perhitungan getir bertemu pasangan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang masih segar dengan muncul juara Petronas Terbuka Malaysia minggu lalu.
Gandingan Anna Ching-Teoh Mei Xing juga tampil dengan aksi memukau di pusingan kedua dengan menjadikan pilihan ke-5 kejohanan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara sebagai mangsa mereka.
Gandingan negara di ranking ke 37 dunia itu hanya memerlukan 38 minit untuk menewaskan lawan mereka dengan keputusan 21-11, 21-15.
Menanti mereka di suku akhir esok, pasangan dari Korea Selatan Jeong Na Eun- Kim Hye Jeong, ranking ke-11 dunia.
Sementara itu, beregu utama lelaki negara Aaron Chia- Soh Wooi Yik tidak berdepan banyak masalah melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Korea Selatan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dengan keputusan straight set 21-18, 21-18 dalam 34 minit.
Menanti mereka di suku akhir nanti pasangan baru dari Chinese Taipei, Chang Ko Chi- Poh Li Wei.
Gandingan “Patatimo boys” Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri juga berjaya melepasi halangan untuk mara ke suku akhir selepas menundukkan rakan senegara Man Wei Chong-Kai Wun Tee, 21-18, 21-14.
Namun lawan getir menanti beregu muda negara ini di suku akhir apabila akan bertemu pasangan Indonesia Fajar Alfian- Muhammad Rian Ardianto esok.
Gandingan beregu campuran negara Goh Soon Huat- Shevon Lai membawa cabaran tunggal di suku akhir selepas catat kemenangan ke atas beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Serena Kani dengan keputusan 21-15,22-20.
Soon Huat-Shevon akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di suku akhir.
Sementara itu perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong nyata belum mampu mencipta kejutan ke atas pilihan ke-4 kejohanan Chou Tien Chen dari Chinese Taipei.
Tze Yong tewas dengan keputusan straight set 18-21, 16-21.