Terengganu menjulang kejuaraan Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 setelah menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Jalil, Ahad malam, terima kasih kepada dua jaringan ‘budak jahat’ Faizal Shaari. Faizal yang digugurkan dari skuad kebangsaan kerana masalah disiplin tahun lalu menjaringkan gol pada minit ke-41 dan 52 manakala pemain muda berusia 16 tahun Akhimullah Anuar menambah satu lagi gol pada minit ke-57 untuk memastikan Terengganu bergelar juara buat kali kedua setelah melakukannya pada 2012.
Lebih manis buat Faizal, dia juga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan menamatkan kejohanan sebagai penjaring terbanyak dengan menjaringkan tujuh gol. Terengganu mungkin boleh menang dengan jaringan lebih besar jika tidak kerana kecemerlangan penjaga gol PDRM, Zaidi Ibrahim dan walaupun ianya memerlukan 40 minit untuk akhirnya meruntuhkan kekebalan Zaidi menerusi pukulan sudut penalti, jurulatih Terengganu Sarjit Singh memuji aksi bertenaga yang ditunjukkan pemainnya.
“Saya cukup berbangga dengan dedikasi dan disiplin, serta komitmen yang ditunjukkan, terutamanya pemain muda. Mereka tidak tenggelam mahupun membenarkan tekanan perlawanan besar menjejaskan fokus mereka. Ianya manis untuk bergelar juara sekali lagi walaupun PDRM telah memberikan tentangan sengit,” katanya.
Manakala jurulatih PDRM, Gurmeet Singh berkata bahawa pasukannya dihukum dek kegagalan menyempurnakan deretan peluang menjaringkan gol.
“Apa sekalipun saya tetap berbangga dengan pencapaian pasukan saya. Kami merupakan juara Divisyen Dua tahun lalu, dan tahun ini berkesudahan sebagai naib juara Divisyen Satu. Kami tewas hanya sekali (di final) jadi keseluruhannya ia satu pencapaian mengagumkan lebih-lebih lagi mengambil kira ini adalah penampilan sulung kami di Divisyen Satu.”
Perak pula menamatkan kejohanan di tempat ketiga setelah menundukkan Melaka, menerusi jaringan Zulhamizan Awang dan Hafifihafiz Hanafi pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung Sabtu.
Sementara itu, Pulau Pinang muncul juara Divisyen Dua seterusnya layak beraksi di Divisyen Satu tahun depan setelah menundukkan Perlis 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti.
Perlawanan masa sebenar sebelum itu berkesudahan dengan keputusan seri 4-4, dengan Pulau Pinang menjaringkan gol menerusi Jiwa Mohan (m-30), Izwan Firdaus (m-42, 57) dan Hafizhudin Zaidi (m-47) manakala gol-gol Perlis dijaringkan Najmi Farizal (m-35, 49), Azhad Akmal (m-36) dan Tengku Ahmad Tajuddin (m-39).
ATM pula menduduki tempat ketiga setelah menundukkan Kelantan 3-1.
Bagi aksi kategori wanita, Pahang muncul juara sulung setelah menundukkan ATM 4-0 pada perlawanan akhir, dengan Nuraini Abdul Rashid menjaringkan dua gol manakala Noorain Arshad dan Wan Nor Faiezah Saiuti menjaringkan satu gol masing-masing. Tempat ketiga menjadi milik Selangor yang menewaskan Kuala Lumpur 4-2.