razie-rahim-menjaringkan-dua-gol-untuk-membantu-klhc-menang-3-0-ke-atas-sapura

Oleh Muhammad Aiman

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memanfaatkan sebaiknya kehadiran semula pemain tonggak kebangsaan ‘inspektor’ Razie Rahim apabila tampil dengan aksi bertenaga untuk menewaskan Sapura 3-0 seterusnya merampas kedudukan pendahulu saingan TNB-Liga Hoki Malaysia.

Dalam aksi di Stadium Hoki Tun Razak, dua gol menerusi pukulan sudut penalti Razie – yang membuat penampilan sulung bersama-sama Nabil Fiqri Mohd Noor selepas mendapat pelepasan daripada PDRM – memacu KLHC mencatat kemenangan kelima mereka musim ini.

Razie menjaringkan gol pada minit ke-12 dan minit akhir separuh masa pertama, sebelum Haziq Samsul menyempurnakan gerakan dicipta pemain Pakistan, Umar Bhutta pada minit ke-32 untuk melengkapkan kemenangan 3-0 buat KLHC.

Meskipun Sapura cuba menjelmakan kebangkitan pada lewat permainan menerusi asakan bertali arus dari rangkaian Firhan Ashaari, Marhan Jalil dan Oscar William, kelibat penjaga gol kebangsan Roslan Jamaluddin di gawang KLHC nyata terlalu sukar untuk ditewaskan.

KLHC kini memimpin carta liga dengan 17 mata dari tujuh perlawanan, manakala Sapura yang kekal dengan 15 mata tergelincir ke tangga kedua.

“Ia satu kemenangan  yang cukup hebat, ini adalah apa yang kami perlukan, iaitu tiga mata. Tetapi ianya tidak akan bermakna jika kami tidak dapat mengekalkan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan yang seterusnya. Selepas ini (Ahad) kami akan berdepan THT dan ia bukan satu perlawanan yang mudah,” ujar ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al Rahid Samri.

Manakala jurulatih Sapura, Yahya Atan walaupun kecewa, akur betapa pasukannya tewas kepada pasukan yang lebih baik, “Kami tidak mempunyai cukup rehat sepanjang minggu ini kerana kami juga bermain di Piala Tan Sri Alagendra. Mereka tidak beraksi jadi mereka mempunyai tempoh lebih untuk persiapan tetapi saya akui mereka bermain lebih baik.

“Begitupun, saya tetap kagum dengan prestasi ditunjukkan pemain saya terutamanya Azrul (Hasbullah) dan Fawwaz (Ramli) yang diturunkan bagi mengisi tempat pemain senior yang direhatkan untuk perlawanan final Piala Tan Sri Alagendra pada Rabu. Yang penting buat kami sekarang, lupakan kekalahan dan fokus untuk menang ke atas UniKL pada Ahad.”

Dalam perlawanan di Bukit Serindit, Terengganu Hockey Team (THT) menyalakan peluang untuk mempertahankan kejuaraan liga setelah mencatat kemenangan 5-2 ke atas Maybank dan terus mengekori di kedudukan ketiga dengan 13 mata.

Skuad bimbingan Sarjit Singh itu mendahului 3-0 dalam tempoh 15 minit pertama menerusi jaringan Jang Jong Hyun pada minit ketujuh dan 13 diikuti jaringan Nicolas Enrique Della Torre seminit kemudian.

Bekas penyerang kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil melengkapkan kemenangan buat THT apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-49 dan 58 manakala Maybank beroleh gol saguhati mereka menerusi Juan Valeriano dan Ignacio Santiago.

Sementara itu, jaringan Najmi Farizal Jazlan, Robert Luke Madeley dan Hafiz Zainol membantu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melakar kemenangan 3-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Kuala Lumpur.      

- Advertisement -