Oleh Muhammad Aiman
Dua jaringan penalti di setiap babak permainan masing-masing oleh Thiago Augusto dan Liridon Krasniqi membantu finalis musim lalu, Kedah membenam cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Star dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong sendiri, Kedah tampil bertenaga dengan melancarkan beberapa serangan awal dan hampir sahaja berada di depan pada minit kelima namun percubaan Shane Smeltz sedikit sahaja tersasar tatkala Haziq Nadzli sudahpun tertewas.
Seminit selepas itu, jaringan Smeltz dibatalkan kerana offsaid namun Lang Merah tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan menerusi penalti Thiago yang dihadiahkan selepas K.Reuben menjatuhkan pemain dari Brazil itu pada minit kelapan.
Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila PDRM bingkas menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Guilherme De Paula pada minit ke-11.
Aksi selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dengan tidak banyak percubaan berbahaya terhasil, sehinggalah pada minit ke-80 apabila sekali lagi Kedah diberikan penalti – kali ini setelah Haziq menjatuhkan Thiago.
Krasniqi tenang menyudahkan sepakan itu untuk memberikan kelebihan tipis buat Kedah menjelang aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 15 Oktober depan.
Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, “Mungkin kita boleh bawa kelebihan yang lebih besar jika barisan serangan tidak mensia-siakan peluang. Rangkaian Smeltz-Augusto telah bermain baik dan menjaringkan banyak gol sebelum ini jadi saya berharap mereka akan kembali menunjukkan sentuhan itu di Hang Jebat nanti. Apapun saya lega kerana ini perlawanan yang sukar dan kita berjaya mendapatkan bekalan satu gol.
Manakala bagi Fauzi Pilus, jurulatih PDRM, “Kita telah memberikan yang terbaik dan menyaingi mereka dari setiap sudut malangnya tewas menerusi dua gol penalti. Kita ada satu gol di tempat lawan dan akan cuba sedaya mungkin mencatat kemenangan di gelanggang sendiri nanti. Saya percaya kalau kita bermain seperti hari ini, tidak mustahil kita boleh mengejutkan Kedah nanti.”
Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Selangor dan T-Team akan berlangsung pada Sabtu malam di Stadium Shah Alam.