Selepas tewas dalam aksi pembukaan menentang skuad Bawah 22 tahun China, skuad B22 tahun negara melakar seri dua sama ke atas pasukan simpanan Guangzhou R&F.
Perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Bolasepak Baining, Guangzhou menyaksikan penguasaan pasukan tuan rumah di separuh masa pertama.
Jaringan pembukaan hadir di minit ke 21 menerusi penyudah kemas Deng Zhiyao sebelum Zhu Di menyumbat gol kedua untuk menambah tekanan ke atas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di minit ke 38.
Perlawanan bagaimanapun dicemari dengan insiden layangan kad merah kepada Zeng Chao dan Sean Eugene Selvaraj seminit sebelum tamat babak pertama perlawanan.
Babak kedua perlawanan, anak didik Kim Swee tampak beraksi lebih kemas untuk memburu gol.
Dua minit selepas babak kedua bermula, Safawi Rasid mengurangkan deficit gol untuk kedudukan 1-2 memihak Malaysia sekaligus menghidupkan semangat juang rakan sepasukan.
Asakan bertali arus sekali lagi membuahkan hasil apabila Safawi sekali lagi melakar nama selaku penjaring kedua Malaysia untuk mengikat kedudukan dua sama di minit 53.
Tiada jaringan tambahan dilakar menyaksikan kedudukan dua sama kekal hingga tamat perlawanan.
Skuad kendalian Kim Swee akan melengkapkan siri jelajah persahabatan antarabangsa di China menentang skuad simpanan Guangzhou Evergrande sebelum kembali ke tanah air. – OLEH KU MOHD LUFTI