Dua pasukan dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) – SSMP ‘A’ dan SSMP ‘B’ B-14 akan berentap dalam aksi final Piala Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) B-14 setelah menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir yang berlangsung Sabtu.
Aksi separuh akhir kedua di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang menyaksikan SSMP ‘A’ mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R dan mara dengan agregat 5-1.
Ketinggalan dua gol susulan kekalahan di tempat sendiri minggu lalu, nyata bukan tugas mudah buat Tunku Anum untuk bangkit menterbalikkan keputusan menentang SSMP ‘A’ yang cukup unggul tanpa tewas sepanjang saingan musim ini.
Meskipun mencipta beberapa peluang di awal permainan, Tunku Anum gagal memecah kebuntuan sebaliknya SSMP ‘A’ bimbingan Effendi Malek tenang mengawal permainan dan berjaya mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Aznil Hafiz Azhar pada minit akhir separuh masa pertama dan Najmudin Akmal Kamal empat minit sebelum tamat permainan.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua berlangsung di venue sama, SSMP ‘B’ tampil bertenaga untuk menewaskan SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian 4-0 dan melangkah dengan kemenangan agregat 6-1.
Skuad kendalian Armi Shariff yang membawa kelebihan satu gol hasil kemenangan di Simpang Ampat minggu lalu, bermula dengan rentak agresif dan mendahului seawal minit ketujuh menerusi Sappie Ashri sebelum Fakrul Fareez Aidi menggandakan kelebihan pada minit ke-31.
Sappie menjaringkan gol kedua peribadinya untuk SSMP ‘B’ mendahului selesa 3-0 di separuh masa pertama yang sekaligus membunuh motivasi Mutiara Impian bimbingan Faqhri Sobri.
Tidak banyak yang dapat dilakukan skuad dengan jolokan Black Tigers itu untuk menterjemahkan kebangkitan di separuh masa kedua dan ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Badrol Erfan Badrol Hisham melengkapkan kemenangan SSMP ‘B’ dengan jaringan keempat.
Menurut Armi, “Kita mempunyai kelompok pemain yang besar dan saya gembira semua pemain boleh memikul tanggungjawab dan menyumbang ketika diperlukan. Begitupun untuk perlawanan ini, secara jujur saya belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain saya walaupun keputusan mungkin menampakkan kita amat dominan.
“Kita skor empat gol kerana berjaya menyudahkan setiap peluang tetapi masih banyak aspek perlu diperbaiki terutama transisi di pertahanan, kawalan dan hantaran bola selain perlu kreatif mencari lebih idea untuk mencipta peluang. Ianya proses pembelajaran dan saya pasti pasukan ini akan tampil lebih baik pada aksi final nanti.”
Perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 30 September depan di Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Tengku Mahkota Ismail, Johor.