peng.soon.liu.ying

Oleh Muhammad Aiman

Dua beregu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon Goh Liu Ying melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton SuperSeries Terbuka Korea setelah menundukkan lawan masing-masing.

Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Seoul pada Jumaat, V Shem-Wee Kiong yang turun selaku pilihan kelima mencatat kemenangan mudah 21-18, 21-13 ke atas pilihan kedua dari China Chai Biao-Hong Wei dalam masa hanya 32 minit.

Kejayaan mara ke kelompok empat terbaik ini sekaligus menebus hampa pasangan nombor sembilan dunia itu yang berputih mata setelah tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Jepun minggu lalu.

Menanti mereka di separuh akhir adalah gandingan pilihan ketujuh, Li Junhui-Liu Yuchen juga dari China yang mara setelah mengejutkan pilihan ketiga dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 21-16.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying pula terus mengekalkan konsistensi mereka untuk mara ke separuh akhir ketiga berturut-turut dan yang kesembilan buat mereka musim ini dengan menundukkan beregu Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Sara Thygesen.

Gandingan pilihan ketiga itu dikerah bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-14, 14-21 dan 21-19 ke atas beregu bukan pilihan itu dalam perlawanan yang berlangsung satu jam.

Di separuh akhir, Peng Soon-Liu Ying akan berdepan beregu nombor satu dunia juga pilihan pertama kejohanan, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na yang melangkah setelah menewaskan satu lagi pasangan Denmark, Kim Astrup-Line Kjaersfeldt 21-15, 21-17.

- Advertisement -