Oleh Muhammad Aiman
Pemain skuash muda negara, Ng Eain Yow melakar kejutan dengan menewaskan pilihan ketujuh dari Australia, Joshua Larkin untuk melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Skuash New Zealand Classic.
Pemain berusia 18 tahun itu yang terpaksa mengharungi dua perlawanan kelayakan sebelum mara ke undian utama, mencatat kemenangan 8-11, 11-6, 11-8, 9-11, 12-10 ke atas pemain ranking ke-92 dunia itu dalam pertarungan pusingan pertama penuh dramatik di Palmerston North pada Khamis.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Remaja yang juga pemain ke-182 dunia itu sedang dalam rangka persiapan untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Poland dari 6-17 Ogos depan justeru jurulatih remaja negara Andrew Cross berharap Eain Yow akan mendapat pengalaman berguna dari kejohanan ini.
“Beraksi di New Zealand adalah langkah persiapan terbaik untuknya beraksi di Kejohanan Remaja Dunia kerana dia akan berdepan jenis pemain yang berbeza. Dia mempunyai kekuatan untuk menyesuaikan diri dengan apa jua situasi perlawanan dan menunjukkan peningkatan yang cukup baik.
“Dia juga sentiasa memberi tekanan kepada pemain senior, ianya cukup bagus untuk melihat Eain sentiasa mencari cara baru untuk memperbaiki permainannya,” kata Andrew.
Menanti juara Terbuka Remaja British itu di suku akhir nanti adalah pilihan kedua dari Australia, Rex Hedrick yang menyingkirkan Evan Williams dari New Zealand dengan keputusan 11-9, 11-5, 11-1.
Sementara itu, pemain nombor dua kebangsaan Ivan Yueh turut melangkah ke suku akhir setelah mudah menewaskan Ashley Davies dan Britain dengan keputusan 11-7, 11-5 dan 11-4 di pusingan pertama.
Ivan yang mara ke separuh akhir Kejohanan Antarabangsa HKFC minggu lalu, akan berdepan pemain Wales, Peter Creed di suku akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$15,000 (RM61,000) itu.
Hasrat seorang lagi pemain muda negara dari pusingan kelayakan, Syafiq Kamal untuk meneruskan kemaraan bagaimanapun tersekat apabila dia tunduk kepada pilihan utama kejohanan yang juga pemain nombor 34 dunia dari New Zealand, Paul Coll dengan keputusan 8-11, 6-11, 3-11.