Juara remaja dunia 2016, Ng Eain Yow dan Syafiq Kamal memastikan pingat emas dan perak kekal milik Malaysia setelah masing-masing melangkah ke perlawanan akhir skuash perseorangan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Dalam aksi separuh akhir pada Ahad (27 Ogos) di Pusat Skuash Nasional Bukit Jalil, Eain Yow menunjukkan aksi bertenaga untuk mengetepikan pemain Filipina, Robert Andrew Garcia dengan keputusan 11-5, 13-11 dan 11-6.
Garcia pada satu ketika berjaya menghadirkan cemas apabila bangkit dari ketinggalan 7-10 untuk mengikat kedudukan 10-10 didinamun et kedua namun Eain Yow tampil tenang dan beraksi matang untuk memastikan kemenangan.
“Saya tahu Robert pemain yang bagus, berpengalaman pernah bermain di beberapa Sukan SEA, jadi memang saya jangkakan tentangan sengit. Dia cuba bangkit di set kedua, memang ia satu perlawanan yang cukup mencabar fizikal.
“Apapun sekarang sudah tiada tekanan kerana emas dan perak sudah sah milik kita, yang penting dalam aksi final hanya fokus dan berikan aksi terbaik,” kata Eain Yow.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Syafiq dikerah bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 12-10, 11-6, 3-11 dan 11-1 ke atas pemain Singapura, Samuel Kang Shan Mu.
Samuel yang merupakan pemenang gangsa edisi 2015 gagal mengekalkan permainan pantas sepertimana ditunjukkan di set ketiga tatkala Syafiq bangkit memperkemas permainan untuk kemenangan mudah di set keempat.
“Saya bermain agak goyah, agak gementar. Tidak bermain sepertimana biasa, hanya pada pertengahan permainan saya mendapat rentak dan berjaya memperkemas permainan kerana saya memang sangat mahu beraksi di final,” kata Syafiq.
Di Singapura dua tahun lalu, Malaysia memenangi pingat emas dan perak perseorangan lelaki setelah Sanjay Singh Chal menewaskan Adeen Bahtiar dalam aksi final.OLEH MUHD AIMAN