Atlet menembak kebangsaan, Eddy Chew berazam menebus kekecewaan terdahulu dengan menyasarkan satu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 19-30 Ogos ini.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi keputusan positif yang dilakar dalam beberapa kejohanan tempatan serta latihan intensif selama 45 hari bermula minggu depan bersama skuad kebangsaan di Korea Selatan.
Sebagai rekod, penuntut tahun dua jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya itu gagal meraih kedudukan podium pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
“Kejayaan untuk mendapat pingat emas itu bagaimanapun bergantung kepada persembahan saya pada hari pertandingan memandangkan tiada acara berpasukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada hari keempat Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Chew berharap latihan intensif di Korea Selatan nanti dapat membantunya memperbaiki catatan mata menjelang Sukan SEA nanti di mana beliau akan mengambil bahagian dalam dua acara iaitu 10m Air Pistol dan 50m Pistol Individu.
Beliau mengakui kehadiran jurulatih dari Korea Selatan, Park Sang-soon sejak November tahun lepas banyak membantu meningkatkan prestasi skuad menembak negara.
“Banyak perbezaan ketara dari segi corak latihan di bawah jurulatih dari Korea Selatan terutamanya dari segi teknik tembakan yang betul dan sebagainya dan saya berharap banyak lagi input dapat saya peroleh di bawah bimbingan beliau,” jelas Chew yang memburu kedudukan podium kali kedua dalam acara kegemarannya, 10m Air Pistol pada SEASA, esok.
Beliau sebelum ini meraih emas acara 50m Pistol Berpasukan bersama gandingan Jonathan Wong Guanjie dan Choo Wen Yan pada hari kedua kejohanan, Sabtu lepas. – BERNAMA