Pelari muda berusia 16 tahun, Eddy Bernard terus mencipta sensasi dalam penampilan sulungnya di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.
Setelah memenangi pingat emas 100m T37 (celebral palsy) lelaki pada Isnin, atlet kelahiran Sabah itu memenangi emas keduanya hari ini dengan mengungguli acara lompat jauh T37 lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lebih manis, Eddy yang dikesan bakatnya menerusi program realiti sukan mengesahkan emas dengan lompatan 5.76m yang sekaligus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya sebelum ini, 5.71m.
“Rahsia utama kejayaan hari ini adalah kerana saya berjaya ketepikan rasa gementar dengan terapkan dalam diri bahawa saya sedang berlatih seperti biasa bersama rakan sepasukan. Hasilnya saya gembira dapat pecahkan rekod peribadi pada percubaan ketiga,” ujar Eddy.
Pingat perak bagi acara itu dimenangi atlet Vietnam, Truong Tan Hien dengan catatan 5.47m manakala seorang lagi atlet Vietnam, Nguyen Huu Thinh memenangi gangsa dengan catatan 4.48m.
Dalam pada itu, seorang lagi atlet negara Hemala Devi Eni Kutty turut meraih emas kedua peribadinya dengan memenangi acara lontar peluru wanita F11/12 (masalah penglihatan).
Atlet berusia 27 tahun itu melakukan lontaran sejauh 10.09m untuk mengetepikan cabaran atlet Filipina, Jeanette Aceveda yang meraih perak menerusi kiraan mata RAZA manakala gangsa milik Dayang Nor Hensan Awang dari Brunei.
Kejayaan ini menyaksikan Hemala Devi yang memenangi acara lempar cakera wanita F12 pada Isnin menghampiri pencapaian tiga emas di temasya Para ASEAN 2015 di Singapura. Dia akan turun untuk mempertahankan emas acara rejam lembing wanita F12 pada Khamis ini.
“Saya beraksi dalam keadaan demam selepas terkena hujan ketika beraksi dalam acara lempar cakera semalam. Jadi saya gembira untuk menang emas walaupun tidak dapat pecahkan rekod peribadi (10.54m). Kini fokus saya adalah mahu kekalkan pencapaian tiga emas di Singapura dan saya yakin boleh lakukannya,” kata Hemala Devi.