Jelajah berbasikal kebanggaan negara PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 berakhir di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) semalam dan sekali lagi peminat dapat menyaksikan perlumbaan kelas dunia.

Dengan tayangan televisyen yang boleh ditonton di seluruh dunia menerusi saluran sukan Eurosport dan tayangan di kaca tv serta pelbagai platform di media sosial, kerancakan perlumbaan dapat dirasai oleh peminat, biarpun seperti lazimnya, jawapan siapa juara terjawab lebih awal di puncak Genting Highlands.

Dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan tempoh persiapan yang hanya berjalan kira-kira empat bulan, perlumbaan bertaraf ProSeries itu dianggap berjaya memenuhi objektif asalnya iaitu mempromosi pelancongan sukan dan memberi peluang kepada pelumba tempatan dan benua Asia untuk bersaing dengan jaguh-jaguh handalan dari pasukan profesional Eropah.

Walaupun bermula dengan kekangan kewangan yang agak ketat pada awalnya, kehadiran satu demi satu penaja membolehkan MSN memberikan hidangan perlumbaan sesuai dengan jolokannya sebagai ‘jelajah terulung Asia’.

Bermula di Kerteh, Terengganu dan menyusuri 11 daripada 12 laluan negeri di Semenanjung sejauh 1,278.1km, peminat tetap membanjiri kiri-kanan laluan sambil bersorak memberikan sokongan, termasuk untuk melihat pelumba tempatan dapat berdiri sama tinggi dengan pelumba profesional WorldTeam dan ProTeam dari Eropah.

Muncul lima pemenang berbeza pada lima peringkat awal sebelum pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn memungut kemenangan kedua dan memenangi jersi oren Raja Pecut tajaan KBS , Sasha Weemaes (Human Powered Health) menyelitkan namanya sebagai pemenang Peringkat 7 dan Gleb Syritsa menutup tirai saingan sekali lagi pada hari terakhir, semuanya menyuntik warna-warni dan rasa ghairah terhadap edisi ke-27 LTdL ini.

Beberapa sejarah tersendiri turut diukir pelumba kali ini termasuk juara keseluruhan yang memenangi gelaran individu keseluruhan dan jersi hijau PETRONAS dari EF Education-EasyPost, Simon Carr yang muncul selaku juara pertama dari Britain sejak kali pertama LTdL dianjurkan pada 1996.

Kisah di sebalik kemenangan itu juga lebih manis kepada Carr, pelumba yang kurang diberi pendedahan dalam perlumbaan besar sebelum ini untuk membuktikan keupayaan sebenarnya ketika emosi turut berkecamuk dalam kesedihan akibat kematian mendiang datuknya, selain menebus kehampaan pasukan berdaftar di Amerika Syarikat itu apabila Hugh Carthy gagal dalam usahanya memenangi gelaran juara pada 2022.

Malah, kepimpinan Carr dan rakan sepasukan, Alexander Jefferson Cepeda yang menamatkan kayuhan dengan keputusan 1-2 di Genting turut menjulang pasukan berstatus WorldTeam itu untuk muncul juara berpasukan keseluruhan dari kalangan 22 pasukan yang bertanding.

Selain nama Carr dan Cepeda, nama pakar pecut seperti De Kleijn, Syritsa, George Jackson (Bolton Equities Black Spoke) dan Weemaes (Human Powered Health) pasti diletakkan di bawah radar pasukan handalan lain selepas ini, sama ada mahu dipancing oleh pasukan baru atau dilabel sebagai pencabar yang perlu dihormati.

Yang sedikit terkilan ialah kegagalan pasukan berstatus Continental dari Asia untuk turut mengukir nama sebagai pemenang peringkat, lebih-lebih lagi menerusi dua pasukan tempatan yang turut serta – Terengganu Polygon Cycling Team dan skuad kebangsaan Malaysia.

Harrif Salleh pulang tanpa kemenangan peringkat buat dua edisi berturut-turut manakala Nur Aiman Zariff turut gagal mempertahankan jersi Raja Bukit yang dimenanginya pada 2020 dan 2022.

Malah pelumba Mongolia pasukan tu, Jambaljamts Sainbayar turut terlepas jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU yang dimenangi tahun lalu.

Pelumba yang membarisi skuad kebangsaan Malaysia juga sekadar dapat menempatkan nama dalam kelompok 10 terbaik pada beberapa peringkat, sekaligus menyerlahkan kekurangan untuk berlumba dalam perlumbaan berbentuk jelajah seperti LTdL, yang pastinya berbeza dengan perlumbaan sehari.

Ia juga mengikis hujah kononnya pelumba tempatan memiliki kelebihan seperti lebih arif dengan laluan dan tidak bermasalah berlumba di bawah cuaca panas terik di negara ini.

Seharusnya dua faktor itu dipergunakan sepenuhnya dalam persiapan mereka di masa depan kerana pelumba luar negara tampak lebih bersedia dan tidak bermasalah untuk berkayuh di bawah cuaca panas atau hujan.

Apapun, tahap penganjuran wajar dipuji kerana pelumba dan pasukan yang pertama kali datang bersaing dalam LTdL 2023 ini cukup berpuas hati dengan kualiti dan profesionalism dalam penganjuran seperti jalan raya yang baik, kemudahan penginapan yang selesa, tahap keselamatan yang tinggi dan tindak balas segera terhadap sebarang permasalahan.

Pelumba seperti Carr, De Kleijn dan pemenang jersi Raja Bukit tajaan TOURISM MALAYSIA, Simon Pellaud (Tudor) tidak segan silu menghamburkan pujian terhadap mutu penganjuran tinggi LTdL 2023 ini ketika mereka diwawancara.

Selaku penganjur untuk edisi 2024 dan 2025, MSN kini mempunyai tempoh lebih panjang dalam persiapan termasuk memilih lokasi mula/tamat yang mesra pengunjung tanpa berkompromi dengan standard dan kriteria yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Selain itu, MSN juga perlu menjemput pasukan yang benar-benar serius untuk bersaing, bukan sekadar mengambil bahagian dan mencukupkan jumlah 22 pasukan yang bertanding.

Mungkin nisbah 5 (WorldTeam): 7 (ProTeam): 9 (Continental): 1 (skuad kebangsaan Malaysia) boleh diguna untuk LTdL 2024.

Media asing yang hadir turut meluahkan sedikit rasa terkilan kerana kurang berpeluang menikmati lebih banyak keindahan dan keunikan yang ada di sepanjang laluan, akibat kekangan masa dan kesibukan membuat liputan.

Kalau adapun, hanya kepelbagaian persembahan budaya dan tarian sempat mereka tonton di  lokasi mula/tamat.

Mungkin kedengaran remeh tetapi itulah sedikit sebanyak yang perlu diperhalusi dan ditangani. Bak kata De Kleijn: “Saya terlalu fokus untuk menang sehingga tidak sempat menikmati keindahan yang ada di kiri-kanan sepanjang laluan.”

- Advertisement -