Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Kelab Badminton Petaling (PBC) mempunyai segala apa yang diperlukan untuk mempertahankan kejuaraan Junior Purple League yang dimenangi musim lalu, demikian menurut pengurus PBC, AJ Wong.
Wong berkata barisan pemain kelab itu menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lalu dan keyakinan cukup tinggi menjelang aksi pembuka tirai Divisyen Satu JPL musim baru berdepan Kelab Badminton Muar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada Sabtu.
Lapan lagi pasukan yang turut bersaing memburu kejuaaran JPL edisi kedua yang berformat liga round-robin itu adalah Kelab Badminton Bangsar Hawks, Kepong, Bandar Utama, Serdang, Cheras, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Puchong United manakala sembilan pasukan berentap dalam Divisyen Dua.
Untuk rekod, PBC muncul juara edisi sulung tahun lalu setelah menamatkan aksi peringkat kumpulan mengatasi Nusajaya, Ampang Jaya dan Kepong.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Purple League Sdn Bhd, Datuk Jack Koh, “JPL bukan semata-mata satu lagi liga biasa, ia adalah liga bertaraf dunia di mana kita membawa pemain-pemain remaja terkemuka dari seluruh dunia datang ke Malaysia, selain turut memberi manfaat kepada bakat-bakat tempatan.
“Sambutan juga jauh lebih baik kali ini berbanding ketika ia dilancarkan tahun lalu, dengan 19 kelab mengambil bahagian iaitu tambahan lapan pasukan dan saya jangkakan pertandingan kali ini juga akan lebih kompetitif memandangkan kelab-kelab ini memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain yang bagus sama ada tempatan mahupun dari luar negara.”
Untuk makluman, tiga pusingan pertama JPL akan berlangsung di Pulau Pinang pada 24 dan 25 September, diikuti tiga pusingan berikutnya di Ampang Jaya pada 1 dan 2 Oktober, manakala tiga pusingan terakhir akan berlangsung di Cyberjaya pada 15 dan 16 Oktober.
Ia kemudiannya akan disusuli dengan Junior Champions Challenge di Sports Arena Bukit Serdang dari 20-23 Oktober.