Seramai 39 pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Seri Kota di sini akan berlepas ke Vietnam esok untuk menjalani latihan bola sepak bersama-sama pemain akademi bola sepak di negara berkenaan dengan tajaan oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Dua pasukan masing-masing di bawah umur 13 dan 16 tahun yang disertai 11 orang guru akan mengadakan beberapa siri perlawanan di Bandaraya Ho Chi Minh bersama-sama pemain dalam kategori umur yang sama di bawah naungan Akademi Juventus Vietnam.

Ketua Jurulatih SSN SMK Seri Kota di Bukit Serindit, Mohd Faimi Abu, berkata Vietnam dipilih kerana kehadiran Akademi Juventus, sebuah kelab bola sepak terkemuka di Itali, dengan matlamat para pemain mendapat pendedahan dalam sistem permainan yang lebih efektif dan mencabar.

Beliau berkata dari segi kemahiran, taktikal dan teknikal mungkin sama antara pemain negara dan Vietnam tetapi “kita ke belakang sedikit dari aspek mental”.

“Saya nampak lebih dari segi mentaliti dan budaya. Budaya pasukan Vietnam, mereka ini lebih mempunyai semangat juang yang tinggi berbanding kita,” katanya kepada Bernama.

Ini terbukti dengan kemaraan dan kejayaan pasukan bola sepak Vietnam di peringkat antarabangsa dengan negara itu kini menduduki ranking ke-99 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) , iaitu yang tertinggi di kalangan negara anggota ASEAN.

Mohd Faimi yakin dengan tajaan oleh Edra Holdings, program latihan itu akan menambah keyakinan diri dan mental para pemain setelah berhadapan dengan pasukan di sana.

Pengetua SMK Seri Kota, Mohd Isa Jani, berkata latihan bola sepak itu merupakan satu daripada program pengantarabangsaan dengan negara yang ranking bola sepaknya lebih baik daripada Malaysia.

Katanya sekolah sukan negeri memang tiada peruntukan khas daripada kementerian atau jabatan pendidikan negeri dan perlu bergantung kepada inisiatif pihak pengurusan sekolah untuk mencari penaja atau penyumbang daripada syarikat korporat.

“Apabila ada dana maka kita boleh merancang untuk memajukan dan menambah baik sekolah sukan negeri yang memberi peluang kepada atlet ini mendapat pendedahan yang lebih bermakna untuk bersaing dalam sukan mereka di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Pemain bawah 13 tahun sekolah berkenaan, Mohd Ainul Haizal, pula yakin para pemain bakal menunjukkan komitmen dan disiplin yang baik di Vietnam.

“Saya nak belajar tentang kemahiran taktikal mereka yang saya belum pernah tahu dan saya akan cuba memperbaiki kesilapan saya pada perlawanan yang lepas,” katanya.

— BERNAMA

 

- Advertisement -