Harimau Malaya gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan di Taipei City pada Jumaat.
Jaringan Wu Chun Ching dan Chu En-Le pada setiap babak permainan memastikan kemenangan buat Taiwan. Ia adalah kemenangan pertama mereka selepas tewas tiga kali berturut-turut kepada India, New Zealand dan Kenya sebelum ini.
Malaysia pula tewas buat kali kedua tahun ini selepas kali terakhir tunduk kepada Lubnan pada Mac lalu. Skuad Tan Cheng Hoe menang dua aksi terakhir sebelum ini ke atas Bhutan dan Fiji.
Pada aksi menentang Taiwan yang berada di ranking ke-125 dunia, Cheng Hoe yang sedang mempersiapkan skuad untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 bereksperiman dengan menurunkan beberapa pemain baru di dalam kesebelasan utama termasuklah pemain berusia 19 tahun Nik Akif Syahiran Nik Mat, Syahmi Safari dan Irfan Zakaria.
Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Razak yang meledak empat gol ketika menewaskan Bhutan mengetuai serangan manakala pemain tengah Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz Mansor diberi peranan mengemudi barisan tengah.
Namun beraksi di padang ditakungi air, barisan pemain Harimau Malaya bergelut menterjemahkan prestasi yang diharapkan dan kebanyakan gerakan yang cuba diatur tersangkut di tengah padang.
Kegagalan menyesuaikan diri dengan keadaan padang pantas dihukum Taiwan yang membuka jaringan menerusi Chun Ching pada minit ke-13 setelah pemain itu merembat masuk bola lantunan menewaskan Farizal Marlias.
En Le kemudiannya membunuh sisa perjuangan menerusi gol kedua hanya tujuh minit selepas babak kedua bersambung.
Satu-satunya peluang terbaik buat skuad negaraa menjaringkan gol adalah menerusi pemain gantian, Akhyar Rashid yang cemerlang meloloskan diri namun percubaannya sekadar terkena tiang gol pada ketika penjaga gol Taiwan Pan Wen Chieh sudah tertewas.
Malaysia akan berdepan Kemboja dalam aksi persahabatan seterusnya pada Isnin (10 September) di Phnom Penh. MUHD AIMAN