Pengendali Melaka United E.Elavarasan berpendapat pasukan itu boleh memberi cabaran serius dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia tahun depan seandainya tonggak utama pasukan dikekalkan.
Menurutnya, “Ia terpulang kepada pengurusan sama ada mahu mengekalkan pemain-pemain utama atau sebaliknya, banyak faktor perlu diambil kira pengurusan dan saya akan menghormati apa sahaja keputusan, tetapi skuad ini sebenarnya hampir lengkap dan sangat berkualiti.
“Kita cuma perlu sedikit sahaja penambahbaikkan yang mana ia sudah memadai untuk menjadikan pasukan ini sebagai pencabar kejuaraan. Kalau terlalu banyak rombakan pun tidak berguna kerana nanti terpaksa bermula balik dari kosong,” ujar Elavarasan.
Antara bintang tempatan membarisi skuad Melaka musim ini sama ada secara kontrak tetap ataupun pinjaman adalah R.Gopinathan, Ahmad Fakri Saarani, S.Chanturu, Azmi Muslim, Farderin Kadir dan Fauzi Roslan.
Manakala penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Faris Shah Rosli, S.Veenod dan Syahrul Azwari dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua.
Mengenai pencapaian keseluruhan pasukan itu musim ini, Elavarasan yang dilantik menggantikan Eduardo Almeida pada pertengahan liga menyatakan dia berpuas hati walaupun gagal membawa pasukan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.
Sebagai rekod, Melaka United pada satu ketika bergelut di zon penyingkiran bersama lima lagi pasukan iaitu Selangor, Kuala Lumpur, PKNP FC, Kelantan dan Negeri Sembilan sebelum akhirnya menamatkan liga di tangga ketujuh setelah menunjukkan peningkatan prestasi dengan hanya tewas dua kali dalam 10 perlawanan terakhir.
Mereka gagal melepasi halangan pusingan ketiga dalam saingan Piala FA setelah kecundang kepada Kuala Lumpur menerusi tendangan penalti manakala dalam saingan Piala Malaysia pula menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang PKNS FC dan Felda United.
Bagaimanapun mereka adalah satu-satunya pasukan yang dua kali meledak enam gol dalam kempen Piala Malaysia kali ini iaitu ketika menewaskan PDRM (6-1) dan Felda United (6-1). MUHD AIMANÂ