Oleh Muhammad Aiman
Tekanan semakin memuncak buat pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan yang boleh dikatakan berada pada fasa kritikal tugasnya bersama Selangor berikutan prestasi hambar pasukan itu musim ini sekaligus menjadi pilihan untuk menjadi jurulatih terbaru disingkirkan.
Semuanya serba tidak kena di kem Selangor setidak-tidaknya buat masa ini.
Kekalahan terbaru kepada Felda United pada Jumaat lalu menyaksikan gergasi merah kuning terus kempunan mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super malah hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir membabitkan semua pertandingan.
Mereka turut tersingkir dari saingan Piala FA selepas kekalahan mengejut kepada PDRM seawal pusingan kedua dan berada di tangga ketiga Liga Super, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Felda United.
Menjadikan situasi lebih buruk, keharmonian dalam pasukan turut terjejas dek insiden pergaduhan antara Mauro Olivi dan Hafiz Kamal dalam bilik persalinan selepas kekalahan kepada Felda sehingga memaksa Persatuan Bolasepak Selangor merehatkan penyerang import dari Argentina itu untuk satu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Zainal bagaimanapun tidak mahu perkembangan ini menjejaskan tumpuan pemainnya tatkala dia sedang mempersiapkan pasukan untuk berdepan Sheikh Jamal Dhanmondi FC pada perlawanan Piala AFC Selasa ini.
Zainal yang mengambil alih tugas dari Mehmet Durakovic bermula musim ini juga sedar bahawa Selangor tiada pilihan selain kembali ke landasan kemenangan bagi meredakan sedikit emosi penyokong setia merah kuning yang berterusan mendesak pengurusan untuk menyingkirkannya.
“Saya sedar akan harapan tinggi yang diletakkan penyokong, saya tidak akan lari dari tanggungjawab saya. Kita sedang melalui saat sukar tetapi saya berjanji akan pastikan situasi kembali reda dan memulihkan prestasi pasukan.
“Ianya penting untuk kita mendapatkan satu keputusan yang baik menentang Dhanmondi untuk terus kekal dalam pertandingan, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Saya harapkan aksi yang lebih garang dan bertenaga dari pemain saya, terutamanya pemain import yang belum mencapai prestasi seperti yang dikehendaki,” kata Zainal.
Selangor ketika ini berada di tangga ketiga Kumpulan E dengan mengutip empat mata, tiga mata ketinggalan di belakang pendahulu Tampines Rovers (Singapura) dan satu mata di belakang Ceres FC (Filipina).
Pada perlawanan menentang Dhanmondi FC di gelanggang lawan bulan lalu, Selangor hanya mampu mencatat kemenangan tipis 4-3 dan mereka perlu mengutip tiga mata di perlawanan ini untuk menghidupkan peluang mara ke kelompok 16 pasukan terakhir.