Jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Iman Gobinathan yakin Malaysia tiada masalah dalam meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan negara itu, beliau sangat optimis dengan kemampuan dimiliki pasukan Malaysia bagi mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu meraih pingat emas.
“Saya berpuas hati dengan tahap disiplin, komitmen, corak permainan dan pencapaian anak buah saya sepanjang latihan termasuklah perlawanan menentang pasukan Western Australia sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, skuad hoki dalam dewan wanita negara menunjukkan prestasi membanggakan negara dengan muncul naib juara di Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia di Doha, April lalu walaupun baru dibentuk tidak sampai setahun.
“Kita akan lakukan apa sahaja bagi memastikan Malaysia dapat menang emas di KL2017 kerana ia memang menjadi sasaran utama dari awal lagi supaya Malaysia dapat menduduki ranking pertama di kalangan negara ASEAN dalam acara hoki dalam dewan wanita sama seperti skuad hoki padang wanita kebangsaan sekarang,” katanya lagi.
Begitupun, Iman berharap perlawanan persahabatan menentang Singapura sebulan sebelum Sukan SEA 2017 bermula akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemain.
Iman berkata menerusi perlawanan persahabatan itu, pihaknya dapat menilai kemampuan Singapura sebelum memulakan kempen Sukan SEA sekaligus mempersiapkan pasukannya dalam misi memburu pingat emas dalam temasya sukan Sukan SEA KL2017, Ogos ini.
“Ketika ini pencabar terkuat kami adalah Thailand dan Indonesia yang telah mempersiapkan pasukan mereka lebih awal dan berpengalaman bergiat aktif dalam acara ini berbanding kami,” katanya. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI