Pemain muda e-sukan Malaysia, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa perlu bekerja lebih keras untuk merampas kembali kedudukan teratas Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) apabila dibezakan empat mata dengan pendahulu liga setakat ini.

Muzaffar mewakili pasukan Perak atau lebih dikenali sebagai Chamack berada di tangga kedua setakat ini apabila dicabar rapat oleh Ahmad Shahrin Shaharuddin yang kini berjaya menghuni takhta liga dengan mengumpul 28 mata diikuti Muhammad Faiz Hariry (Favlain) di kedudukan ketiga.

Pemain berusia 17 tahun ini sedar dia perlu hadir dengan corak permainan yang lebih menyakinkan kerana menganggap Shahrin yang dikenali sebagai Ayen semakin menunjukkan permainan di luar jangkaan untuk selesa di tangga teratas.

 

 

Mengenai perlawanan yang berlangsung semalam, Chamack mengakui prestasinya agak kurang konsisten selepas mendapat satu kemenangan sahaja berbanding Ayen yang memenangi ketiga-tiga perlawanan semalam.

“Saya memang tidak akan menyerah kalah kerana walaupun berbeza empat mata, masih tidak mustahil untuk saya kejar kedudukan Ayen ketika ini.

“Cuma memang saya kena bekerja lebih keras kerana sepanjang perlawanan yang sudah berlangsung, kita dapat lihat kedudukan sentiasa berubah dan bukan senang untuk kekalkan kedudukan itu.

“Memandangkan saya kini dalam kelompok tiga terbaik, saya tetap dengan pendirian untuk memastikan juara eMFL musim ini akan menjadi milik saya dan kejayaan itu adalah untuk pasukan Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Ayen tidak menolak Chamack sememangnya sentiasa memberi debaran kepada dirinya setiap kali beraksi kerana pemain muda itu mampu melakukan kejutan untuk berusaha kembali berada di tangga teratas liga.

Untuk ketika ini, dia berpuas hati dengan kedudukannya selepas berjaya meletakkan jurang yang agak jauh dengan pencabar-pencabar lain apatah lagi setakat ini menjadi satu-satunya pemain yang masih kekal dengan rekod bersih tanpa kalah selepas 12 perlawanan.

“Saya tidak menafikan agak puas kerana berjaya berada di tangga teratas sekarang dan apatah lagi dengan jumlah mata yang agak jauh dengan pemain lain.

“Cuma perlawanan masih lagi banyak, dan sesiapa sahaja boleh memberi cabaran, tidak kira pemain yang berada di bawah sekalipun.

“Jadi, saya kena sentiasa fokus dan sekarang pun memang saya lebih banyak bermain daripada aspek bertahan dalam perlawanan ini kerana pesaing semua sukar untuk dijangka, lebih-lebih lagi Chamack”, jelasnya

12 pemain e-sukan ini akan meneruskan cabaran dalam Kejohanan eMFL pada malam ini yang merupakan hari kelima kejohanan dengan sebanyak 18 perlawanan akan berlangsung.

- Advertisement -