Ketika liga domestik Indonesia berdepan nasib tidak menentu, keadaan tempak semakin keruh apabila empat pemain kelab Persebaya Surabaya disahkan positif jangkitan Covid 19.
Perkara tersebut disahkan Presiden kelab itu, Azrul Ananda menerusi kenyataan rasmi di laman rasmi kelab itu.
Jelas Azrul, ujian yang dijalankan oleh penganjur, Liga Indonesia Baru (LIB) sebelum sepak mula musim 2020 bermula mengesahkan dua pegawai dan empat pemain kelab itu positif Covid 19 dengan tiada gejala dikesan.
Tambahnya, kesemua enam individu yang positif berada dalam keadaan stabil dan tidak menjalani sesi latihan pada Isnin dan berada di kediaman masing masing untuk proses kuarantin.
Ujian akan dijalankan keatas mereka dalam masa terdekat sebelum keputusan lanjut dibuat dan pengurusan juga memantau perkembangan enam individu tersebut dari semasa ke semasa.
Azrul tidak mendedahkan nama nama individu yang positif Covid 19 namun menyampaikan mesej yang jelas terutama kepada kelab kelab lain untuk tidak mengambil ringan situasi semasa.
Malah beliau berharap LIB memikirkan pelan jangka panjang sebelum memulakan saingan liga domestik kerana semua sedia maklum, keseluruh dunia sedang menyesuaiakan diri dengan norma baharu ketika ini.