Oleh Muhammad Aiman
Aksi separuh akhir Kejohanan Skuash Terbuka Netsuite di San Francisco akan menyaksikan pertembungan empat pemain pilihan utama kejohanan apabila kesemua mereka melangkah ke suku akhir setelah mudah menjinakkan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir pada awal pagi Khamis.
Mendahului senarai adalah pilihan utama, juga pemain nombor dua dunia Laura Massaro yang mara setelah mengetepikan rakan senegara Victoria Lust dari England 11-3, 11-7, 11-9 dalam masa 32 minit.
Massaro yang menjuarai Terbuka China awal bulan ini berkata, “Ia bukan perlawanan yang mudah kerana seperti saya katakan sukar untuk beraksi di belakang gelanggang, ia menjadikan rally lebih panjang tapi lega kerana saya dapat menamatkan aksi dalam tiga set. Saya tidak sabar untuk beraksi di gelanggang kaca pada separuh akhir nanti.”
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David yang merupakan pilihan kedua pula melangkah dengan menewaskan bekas juara remaja dunia dari Mesir, Nour El Tayeb setelah pemain pilihan keenam itu menarik diri di set ketiga, pada kedudukan Nicol mendahului 11-9, 11-6 dan 7-0.
Nicol, pemain nombor tiga dunia memanfaatkan pengalaman luasnya untuk menyesuaikan diri dengan permukaan gelanggang di Justin Herman Plaza yang licin akibat perubahan cuaca pada waktu malam tatkala Nour pula beberapa kali tergelincir dan mengalami kecederaan, memilih tidak meneruskan perlawanan.
“Keadaan licin menyukarkan pergerakan, tetapi saya berjaya sesuaikan diri. Ianya adalah mengenai keselesaan untuk meneruskan perlawanan selepas terjatuh, kerana sudah tentunya dia (Nour) tidak mahu terlalu menekan diri. Saya harap dia ok dan tidak mengalami kecederaan.
“Kami berdua melalui situasi yang sama, masing-masing mencuba yang terbaik dalam situasi tersebut. Adalah penting untuk ketahui apa kaedah boleh diguna ketika berdepan detik seperti itu dan seterusnya mengambil kesempatan dari peluang yang terhidang tetapi terus terang saya katakan tidak begitu manis untuk menang dengan cara ini,” kata juara dunia lapan kali itu.
Dalam perlawanan lain, jaguh tuan rumah Amanda Sobhy kekal di landasan terbaik menjulang kejuaraan buat musim kedua berturut-turut setelah menyingkirkan pemain Hong Kong, Joey Chan, 11-3, 12-10 dan 11-2.
“Agak mendebarkan bila Joey cuba bangkit di set kedua, saya sememangnya tidak mahu perlawanan berlanjutan ke set tambahan kerana mahu menyimpan tenaga bagi aksi separuh akhir. Ianya suatu yang menarik untuk kembali beraksi di San Francisco, saya benar-benar mahu kekalkan kejuaraan dan pastikan kejuaraan kekal di bumi sendiri.
“Bermain di hadapan penyokong sendiri memberi suntikan yang amat saya perlukan. Ia membantu meningkatkan motivasi dan keghairahan saya apabila mendengar sorakan dari peminat seluruh negara. Mereka cukup hebat, saya tidak kenal siapa mereka dan untuk mendengar mereka memberi sokongan, saya tidak mahu kecewakan mereka,” ujar Amanda yang muncul juara tahun lalu dengan menewaskan Sarah Jane Perry.
Turut melangkah ke separuh akhir adalah pilihan keempat Joelle King dari New Zealand. Pemain ranking kesembilan dunia itu menewaskan pemain Mesir, Heba Al Torky 11-8, 11-4 dan 11-6.
Aksi separuh akhir akan menyaksikan Nicol David berdepan Amanda Sobhy manakala Laura Massaro pula berdepan Joelle King.