Kelab kelab di Liga Perdana Inggeris telah merekodkan kerugian £600  juta ketika musim 2018/2019, namun musim 2019/2020, angka itu meningkat berkali ganda.

Pakar kewangan bolasepak Vysyble mengeluarkan analisis terhadap 20 pasukan di liga utama, EPL dan mendedahkan kerugian yang dianggarkan £5.15 bilion susulan penularan wabak Covid 19.

Malah, situasi ini mungkin berterusan dalam EPL meskipun musim 2019/2020 berjaya ditamatkan dengan aksi yang dilangsungkan di dalam suasana tertutup.

Penganjur juga perlu membayar pampasan £330 juta kepada syarikat penyiar kerana perlawanan yang tidak ditamatkan mengikut jadual masa yang ditetapkan.

Selain itu kerugian sekitar £126 juta akan turut dicatatkan susulan ketiadaan penjualan tiket di stadium selain prasarana berkaitan.

Vysyble juga beranggapan situasi ini akan menghantui kesemua pihak yang terlibat untuk satu tempoh yang agak lama.

Antara yang terkesan teruk, kelab Everton yang merekodkan kerugian £111 juta serta Chelsea dengan kerugian yang dicatatkan sebanyak £96 juta.

Salah satu kelab yang merekodkan kerugian, Tottenham Hotspurs yang membuat pinjaman berjumlah £175 juta dari Bank of England meskipun pernah mencatat keuntungan £68.6 juta ketika musim 2018/2019.

Malah, Spurs juga berkemungkinan bakal kehilangan £200 juta kerana kehilangan pendapatan menerusi jualan tiket perlawanan, pembatalan kejohanan atau acara yang bukan berkaitan bolasepak seperti NFL serta konsert dan penyiaran.

Liga kedua juga turut menerima tempias, namun jumlah kerugian yang dicatatkan belum dianalisis sepenuhnya kerana empat kelab masih belum mendedahkan penyata kewangan sepanjang 2019.

Namun, kiraan kasar yang telah dibuat menyaksikan pasukan yang beraksi di liga tangga kedua merekodkan kerugian £307 juta sehingga £350 juta.

- Advertisement -