Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Johor Darul Takzim diikat seri 1-1 oleh wakil India, Bengaluru FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin sekaligus terlepas peluang membawa bekalan selesa untuk menghadapi aksi timbal balik.
Jaringan penyamaan Eugeneson Lyndoh pada minit ke-56 memadam kelebihan tuan rumah yang mendahului empat minit sebelum itu menerusi ayam tambatan, Jorge Pereyra Diaz.
Meskipun menurunkan barisan terkuat dan mendominasi aksi separuh masa pertama, JDT perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan menjaringkan gol.
Setelah permulaan yang perlahan, Harimau Selatan mencipta peluang pertama pada minit ke-27 apabila tandukan kencang Juan Martin Lucero diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Amrinder Singh manakala sepakan rendah Azinee Taib pula sedikit tersasar.
Lucero sepatutnya meletakkan skuad Mario Gomez mendahului pada minit akhir separuh masa pertama, namun dia gagal menyempurnakan dua peluang terbaik, menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.
Tujuh minit bersambung babak kedua, JDT akhirnya di depan apabila Diaz memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan Bengaluru untuk menanduk masuk hantaran dari sebelah kiri kapten pasukan, Safiq Rahim.
Bengaluru tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila hanya lima minit kemudian, Izham Tarmizi Roslan gagal menghalang rembatan deras kaki kiri Eugeneson.
Di sebalik berjaya mendapatkan jaringan gol di tempat lawan, Bengaluru tidak bermain defensif sebaliknya mencipta beberapa peluang berbahaya, tatkala JDT pula membawa masuk penyerang veteran Amri Yahyah untuk memperkasakan serangan namun kedua-dua pasukan gagal mencari tambahan jaringan.
Aksi timbal balik yang akan berlangsung tiga minggu lagi dijangka lebih sukar buat JDT kerana mereka dijangka kehilangan khidmat ‘penyerang kembar’, Diaz dan Lucero serta Amri kerana penggantungan perlawanan.