Oleh Muhammad Aiman
Tiga minggu selepas namanya digugurkan dari Program Podium kerana prestasi yang tidak memberangsangkan, penembak rifle negara Muhd Ezuan Nasir Khan bangkit menampilatkan prestasi terbaiknya apabila memperbaharui dua rekod kebangsaan di Kejohanan Menembak Trofi Tun Hanif.
Setelah memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 10m air rifle pada Khamis, Ezuan sekali lagi mencuri tumpuan apabila memperbaharui pula rekod kebangsaan dalam acara 50m rifle prone di Lapang Sasar Subang.
Ezuan mengumpul 246.9 mata untuk memenangi emas sekaligus mengatasi rekod terdahulu 237.9 mata dipegang penembak dari Johor, Mohd Shahril Sahak yang dilakar pada 2014 di Kejohanan Menembak Trofi Chia Woh.
Dua lagi penembak kebangsaan, Mohd Zubair Mohamad (244.3 mata) dan Zul Haziq Rosli (223 mata) masing-masing berkesudahan di tempat kedua dan ketiga.
Ini adalah kali pertama Ezuan memecahkan dua rekod kebangsaan dalam masa dua hari berturut-turut, dan dalam satu pertandingan sama.
“Ini pencapaian terbaik saya dalam kejohanan tempatan, sudah tentunya saya teruja kerana ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Setelah digugur dari Podium memang saya rasa kecewa sangat, tetapi saya tidak membiarkan ia menganggu fokus saya ketika latihan.
“Terima kasih juga kepada jurulatih Park Sang Soon yang memberikan motivasi supaya saya segera bangkit dari prestasi hambar. Saya gembira dapat membuktikan saya masih penembak rifle nombor satu dalam negara dan menepis segala kritikan.
“Harapnya saya boleh kekalkan prestasi baik ini untuk sepanjang tahun ini, dan kembali ke dalam program Podium, seterusnya memenangi pingat emas pertama saya di Sukan Sea Ogos depan,” kata Ezuan.
Pada bulan lalu, Ezuan bersama-sama tiga lagi rakan sepasukan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nur Suryani Taibi dan Muslifah Zukifli digugur dari program Podium setelah gagal mencapai indeks prestasi yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, turut menyerlah memperbaharui rekod kebangsaan adalah Alia Sazana Azahari – penembak Terengganu itu membidik 235.5 mata untuk mengatasi rekod lama 229.9 mata milik Bibiana Ng Pei Chin dalam acara 10m pistol udara.
“Saya terkejut kerana saya tidak langsung mensasarkan untuk memenangi pingat di sini tetapi saya berjaya beraksi dengan luar biasa mungkin kerana tiada tekanan ke atas saya.
“Ini adalah kali pertama saya pecahkan rekod kebangsaan, sudah tentunya ia memberi tonik buat saya untuk cuba mencatat rekod peribadi terbaik dalam acara 25m pistol yang merupakan acara kegemaran saya, pada Sabtu,” kata pemenang pingat emas 25m pistol di Sukan Sea Singapura 2015 itu.
Pingat perak acara itu dimenangi Joseline Cheah dari Angkatan Tentera Malaysia (233 mata) manakala Bibiana meraih gangsa dengan 209.2 mata.