Kekecewaan gagal menyarung jersi pasukan negara di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu masih lagi membayangi pemain sepaktakraw kebangsaan Ahmad Fadzil Mustafa.

Dia sepatutnya membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu, namun kemalangan ketika kurang dua minggu berlangsung KL 2017 menyaksikan namanya disisihkan dari senarai akhir dan segala impiannya punah sekelip mata.

“Ketika itu saya menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke Sungkai selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). Saya cuba mengelak dari merempuh kereta ketika melalui lebuhraya di Slim River dan terbabas.

“Saya mengalami kecederaan teruk dan terpaksa bermalam sehari di hospital. Doktor memberitahu bahawa kecederaan saya serius dan terpaksa berehat selama dua bulan.

“Memang sangat kecewa lah ketika itu, sudah begitu hampir dengan Sukan SEA dan ia bakal jadi penampilan pertama saya,” kata Fadzil yang bermain selaku ‘killer’.

Tekad mahu tebus kecewa tersebut, Fadzil ketika ini sedang berusaha sedaya upaya memulihkan semula keyakinan dan prestasinya. Dia adalah antara pemain yang disandarkan harapan untuk membantu cabaran juara Divisyen Satu, Perak Bison dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier yang kini sudahpun memasuki minggu keempat.

Walaupun masih belum pulih sepenuhnya terutama kecederaan di pergelangan tangan yang membataskan pergerakan serta keupayaannya melakukan rejaman, pemain berusia 23 tahun ini semakin mendapat semula sentuhan sebenarnya.

Dia memainkan peranan penting ketika Perak Bison menewaskan Johor Tigris minggu lalu dan hampir sahaja melakar kejutan sensasi ke atas Terengganu Turtles.    

“Selepas pulih daripada kecederaan, saya mengambil masa untuk kembali ke tahap sebenar saya. Saya umpama bayi yang mula-mula belajar berjalan, banyak perkara yang mana saya perlu untuk bermula semula dari kosong, kena belajar semula.

“Pergelangan tangan saya masih sakit, jadi saya kena berhati-hati setiap kali mahu ‘landing’ selepas buat hadangan atau rejaman. Saya berharap dapat terus tunjukkan peningkatan pada perlawanan-perlawanan berikutnya, saya tahu ia akan ambil masa tapi saya akan terus berusaha,” kata Fadzil yang dikenali dengan gaya rejaman ‘backtroke’.

“Teknik ‘backstroke’ adalah kegemaran saya, saya suka mensasarkan bola ke sudut yang sukar diangkat lawan. Terima kasih kepada jurulatih, Ismail Atan kerana mengasah teknik itu di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail,” tambahnya lagi.

Minggu ini, Perak Bison bimbingan Ismi Hissan Ismail yang berada di kedudukan kelima dengan mencatat tiga kemenangan akan menentang Kuala Lumpur Thunder pada Jumaat diikuti Penang Black Panthers pada Sabtu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Jadual aksi minggu keempat:

20 Oktober (Jumaat) : Penang Black Panthers lwn Selangor Pistons (8 mlm), Kuala Lumpur Thunder lwn Perak Bison (9.30 mlm)

21 Oktober (Sabtu) : ATM Guardians lwn Johor Tigris (5 ptg), Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors (6 ptg), Perak Bison lwn Penang Black Panthers (8 mlm)

22 Oktober (Ahad) : Johor Tigris lwn Selangor Pistons (5 ptg), Kelantan Warriors lwn Kuala Lumpur Thunder (6 ptg), Terengganu Turtles lwn ATM Guardians (8 mlm)

- Advertisement -