Nama Faiz Nasir pantas menjadi popular dan meniti di bibir penyokong bolasepak tempatan susulan peranan penting dimainkannya di dalam memacu langkahan Terengganu FC ke aksi final Piala Malaysia.
Jika pada awal musim dia lebih sinonim dengan status selaku pemain gantian, Faiz atau digelar Messi Terengganu meletakkan dirinya sebagai salah seorang tonggak utama sang penyu menerusi kreativiti, kelincahan dan skill individu memukau yang disebut sebagai satu daripada faktor instrumental buat Irfan Bakti Abu Salim.
Malah ramai juga mempersoal kenapa pemain kelahiran Kelantan ini tidak disenaraikan Tan Cheng Hoe dalam skuad Harimau Malaya.
Menjelang aksi final menarik antara Terengganu dan Perak yang dijadual berlangsung pada Sabtu (27 Oktober), Sports247 kongsikan kisah perjalanan pemain ini menempa nama dalam arena bolasepak tempatan.
Faiz mula membina karier ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Chandi, Pasir Mas sebelum menyertai skuad Piala Presiden Kelantan pada 2013.
Dia merupakan tonggak yang membantu skuad Piala Presiden Kelantan muncul juara tahun tersebut, tetapi memandangkan Kelantan sudah mempunyai ramai pemain tengah berprofil tinggi antaranya Amar Rohidan, Brendan Gan, Fakri Saarani dan Badhri Radzi maka dia tidak diserap ke skuad senior setelah kontraknya berakhir.
Malah dia dianggap belum cukup bagus untuk beraksi di pentas lebih tinggi, terutama disebabkan tubuh badannya yang kecil.
Lantas anak keenam dari sebelas adik-beradik ini membawa diri menyertai kelab Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) pada 2014 dan bermain dua musim bersama pasukan itu sebelum menyertai pasukan berbelanja besar Felcra FC dan kemudiannya dilamar Terengganu pada 2017.
Tubuh kecil dianggap sebagai kekurangan
Bercakap mengenai fizikal Faiz, pemain ini sebenarnya hanya berketinggian 1.55 meter sahaja tetapi saiz tubuh badan yang kecil serta kelincahannya itulah yang sering menarik perhatian ramai.
Tetapi tidak dinafikan ia juga dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kekurangan.
“Dulu, ada orang cakap saya terlalu kecil dan tidak sesuai untuk menjadi pemain bola sepak. Malah, ramai tidak yakin dengan kemampuan saya hanya kerana saiz badan saya. Tetapi, saya tidak pernah ambil hati sebaliknya jadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat untuk buktikan bahawa tubuh yang kecil bukan halangan. Apa yang penting saya mempunyai hati yang besar,” ujarnya.
Bukan senang nak senang
Pelbagai rintangan dan cabaran ditempuhi Faiz untuk menempa nama sepertimana dikecap pada hari ini – bayangkan ketika Faiz bermain untuk PBAPP FC, itu adalah kali pertama dia berjauhan dari keluarga.
“Antara cabaran paling besar perlu ditempuh adalah terpaksa berdikari dengan gaji yang kecil, berjimat cermat dalam berbelanja dan adakalanya mengalas perut hanya dengan memakan mi segera. Ketika itu gaji saya hanya kira-kira RM3,000 sebulan. Kalau nak diikutkan, memang tidak cukup apatah lagi hidup di rantau orang.
“Tetapi, demi memenuhi cita-cita menjadi pemain profesional, saya sedia meninggalkan kampung halaman di Pasir Mas dan berhijrah ke Pulau Pinang. Ketika itu apa yang saya fikirkan adalah mahu mencari tapak untuk memenuhi impian saya.
“Atas sebab itu saya menyertai PBAPP walaupun gaji tidak mencukupi untuk menampung kehidupan saya di sana, kerap juga terputus wang sehingga saya terpaksa meminta dari ibu bapa di kampung,” tambahnya.
Menurut Faiz, kadang-kadang dia berasa malu kerana terpaksa menyusahkan orang tuanya kerana menyedari kedua ibu bapanya terpaksa bertungkus-lumus untuk membesarkan mereka 11 adik-beradik.
Begitu pun, Faiz bersyukur kerana keluarga sangat menyokong kerjayanya dan sanggup bersusah payah untuk memastikan dia berjaya memenuhi cita-citanya.
Setelah pelbagai ranjau dan perit jerih ditempuh, Faiz tidak lagi berpaling dan kini hanya selangkah sahaja lagi untuk mendakap trofi besar pertama dalam kariernya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN