Oleh Ku Mohd Lufti
Finalis bagi anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal menerima durian runtuh daripada kerajaan Negeri Kedah sebagai pengiktirafan kepada pemain pasukan Pulau Pinang itu.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Datuk Aminuddin Omar menjelaskan, sumbangan tersebut akan diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Jelas Aminuddin, penyerahan sumbangan tersebut sepatutnya diberikan ketika sambutan Piala Malaysia di Sik namun ia terpaksa di tunda susulan Faiz mempunyai komitmen yang lain.
“Sumbangan sepatutnya diberikan sebelum beliau berangkat ke Zurich tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kita hanya akan memberikan sumbangan tersebut sekembalinya beliau dari sana,” kata Aminuddin.
Mohd Faiz Subri antara tiga calon final yang disenarai untuk menerima anugerah Puskas FIFA 2016 yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland pada 9 Januari nanti.
Jaringan Faiz yang yang dilabel sebagai ‘melanggar hukum fizik’ dilakukan pemian kelahiran Ayer Hitam, Kedah ini, ketika membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb tahun lepas.
Manakala dua lagi calon bagi anugerah itu ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.